PALEMBANG - Seorang ibu di Indonesia yang cuma mahu dikenali sebagai Diana mengakui dia sudah berputus asa bagi memaksa anaknya berusia dua tahun berhenti merokok 40 batang sehari, lapor sebuah akhbar semalam.
Anak wanita itu, Ardi mendapat perhatian penduduk dunia pada minggu lalu selepas imejnya menghisap rokok disiarkan di beberapa laman web.
Bapa budak itu dilaporkan memberikan anaknya itu sebatang rokok untuk dihisap semasa dia berumur 18 bulan.
"Saya merokok semasa hamil tetapi selepas saya melahirkan anak, saya berhenti merokok," kata ibu Ardi itu kepada stesen televisyen CNN.
"Saya tidak mengingati bila (anaknya mula menghisap rokok) tetapi kami pergi ke pasar dan tiba-tiba sebatang rokok berada dalam genggaman tangannya.
"Malah, semasa dia masih bayi, apabila menghidu bau rokok, dia akan berasa gembira," tambahnya.
Menurutnya, Ardi kerap muntah dan menghentak kepalanya ke dinding semasa marah kerana tidak diberikan rokok.
Ardi kini menjadi selebriti di negaranya apabila beberapa orang memberinya rokok apabila dia muncul di tempat awam.
Namun, Diana berazam untuk menggunakan pendekatan berlembut bagi memujuk anaknya itu berhenti merokok.
"Saya mengetahui bahawa saya tidak boleh menggunakan paksaan terhadapnya tetapi saya perlu berlembut dengannya," jelasnya. - Agensi