27 Ogos 2010

Pintu Langit dan Roh Jahat


 Kepercayaan kepada roh-roh orang mati yang masih tinggal di dunia sudah lama wujud. Antara mereka dikatakan jahat sebab yang empunya adalah orang-orang jahat. Roh-roh jahat mengacau manusia dengan, misalan, mendatangkan penyakit kepada manusia. Penyakit yang dikenakan lazimnya sukar diubati atau pelik.

Roh orang jahat dipercayai tidak diterima Allah selepas dia mati. Lalu ia hidup di kalangan masyrakat dengan berbuat jahat.

Orang-orang yang berpegang pada kepercayaan tersebut tentu telah diyakinkan dengan beberapa dalil. Satu daripadanya dikatakan daripada al-Qur'an. Ayat yang mereka guna untuk meyakinkan kepercayaan tersebut berbunyi,
"Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan menyombongkan diri terhadapnya, pintu-pintu langit tidak akan dibuka untuk mereka, dan tidak juga mereka akan masuk Taman sehingga unta melintasi lubang jarum. Begitulah Kami membalas orang-orang yang berdosa." (7:40)
Mereka mengandaikan pintu-pintu lagit di situ adalah jalan untuk roh orang mati lalu sebelum sampai di tempat simpanan. Oleh kerana ditutup maka roh orang-orang jahat berkeliaran di bumi.

Ayat telah disalah tafsir lalu timbul ketakutan di kalangan masyarakat. Takut kepada roh orang mati, yang dipercayai boleh mendatangkan mudarat.

Dikatakan salah tafsir kerana didapati daripada ayat-ayat al-Qur'an lain pintu-pintu langit tidak bermaksud pembuka jalan atau lorong yang harus dilalui roh orang mati.

Ayat pertama diturunkan sebagai bukti kepada kesilapan tersebut ialah:
"Maka, apabila mereka melupakan apa yang mereka telah diperingatkan, Kami membukakan kepada mereka pintu-pintu segala sesuatu, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang mereka diberi, Kami mengambil mereka dengan tiba-tiba; maka ketika itu, mereka adalah orang-orang yang berputus asa." (6:44)
Walaupun pintu-pintu di situ tidak disebut sebagai pintu-pintu langit namun ia dipetik kerana tidak ada pintu lain yang menurunkan pemberian daripada Allah selain pintu langit.

Pendapat disokong dengan ayat seterusnya, yang mengandungi perkataan pintu langit dengan nyata, berbunyi,
"Walaupun Kami membukakan kepada mereka sebuah pintu di langit, dan mereka terus naik ke dalamnya,
Tentu mereka berkata, 'Mata (penglihatan) kami telah dikaburkan; tidak, kami adalah kaum yang kena sihir!'
Kami meletakkan di langit gugusan bintang, dan menampakkannya indah bagi orang-orang yang memandang.
Dan menjaga mereka daripada tiap-tiap syaitan yang direjam.
Kecuali yang mendengar dengan mencuri, dan dia diikuti api yang nyata." (15:14-18)
Di sebalik pintu di langit itu kelihatan tersimpan pemberian-Nya dan juga rahsia-rahsia yang syaitan cuba mencuri dengan mendengar. Apapun pintu di langit itu tidak bermaksud jalan atau lorong dilalui roh orang mati.
 
Ayat mengandungi pintu langit yang akhir diturunkan di sini berbunyi,
"Lalu dia berseru kepada Pemeliharanya, 'Aku dikalahkan; tolonglah aku!'
Kemudian Kami membukakan pintu-pintu langit dengan air tercurah,
Dan membuatkan bumi memancarkan mata-mata air, dan air-air bertemu untuk satu urusan yang ditetapkan.
Dan Kami membawa dia di atas yang dipapan, dan dipaku," (54:10-13)
Pintu-pintu langit dibuka kerana Nabi Nuh memohon pertolongan Allah. Setelah dibuka air mencurah turun ke bumi. Sekali lagi ia tidak bermaksud jalan dilalui roh orang mati.
 
Roh yang disebut-sebut setakat ini adalah nafs dalam bahasa Arab yang bermakna jiwa (sila lihat artikel KEMATIAN menurut ajaran al-Qur'an). Dalam kajian mengenai kematian jiwa tidak terdapat satu pun ayat yang menyebut ia akan melalui pintu langit untuk pergi ke tempat simpanan.
 
Malah yang disebut hanya barzakh (tembok) yang ada selepas kematian. Firman-Nya,
"Sehingga, apabila kematian datang kepada seorang daripada mereka, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, kembalikanlah aku,
Supaya aku membuat kerja-kerja kebaikan yang aku telah meninggalkan.' Tidak, ia hanyalah satu kata yang dia mengucapkan; dan di belakang mereka ada barzakh (tembok) hingga hari mereka dibangkitkan." (23:99-100)
Tembok yang diadakan Tuhan tentu tidak dapat dilintasi, sama ada dari luar atau dalam. Maka roh akan tidur di situ hingga hari kebangkitan. Ia tidak merayau-rayau di bumi.
 
Kembali kepada ayat yang dijadikan bukti oleh orang-orang yang mempercayai roh orang mati masih berlegar di dunia kerana pintu-pintu langit tidak dibuka untuknya. Ia diturunkan sekali lagi di sini:
"Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan menyombongkan diri terhadapnya, pintu-pintu langit tidak akan dibuka untuk mereka, dan tidak juga mereka akan masuk Taman sehingga unta melintasi lubang jarum. Begitulah Kami membalas orang-orang yang berdosa." (7:40)
Pintu-pintu langit tidak dibuka kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, dan menyombongkan diri terhadapnya. Pada hemat kami ia bermaksud rahmat daripada Allah tidak akan diturunkan kepada mereka di dunia. Meraka mati sebagai orang-orang yang berdosa dan tidak akan masuk Taman (syurga) di akhirat kelak.
 
Oleh itu kepercayaan bahawa roh-roh orang berdosa merayau-rayau di bumi mengganggu orang-orang masih hidup kerana pintu-pintu lagit tidak dibuka untuk mereka melintasi adalah hanya cerita rekaan yang menakutkan. Hanya syaitan yang menakut-nakutan manusia sedemikian rupa.
(http://www.e-bacaan.com/)
 

0 Comments:

Post a Comment