20 Oktober 2010

Jangan ketepikan soal alam ghaib ( vedeo)

 

Siti Balqis pulih – Ustaz Sharhan (Utusan online)

BESUT 19 Okt. – Pengamal rawatan Islam, Ustaz Sharhan Shafie mendakwa, gadis ghaib Siti Balqis Mohd. Nor, 22, kini sudah pulih daripada gangguan misteri yang membelenggu dirinya sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, setelah seminggu menjalani rawatan, pihaknya mendapati tiada lagi gangguan dalam diri Siti Balqis sebaliknya gangguan berlaku di luar diri gadis tersebut.
Katanya, fasa pertama tujuh hari telah berlalu tanpa insiden gangguan terutama menyembunyikan gadis tersebut dan akan masuk fasa kedua serta ketiga yang kesemuanya berjumlah 21 hari sejak rawatan pertama dijalankan.

(Ustaz Sharhan Shafie (kanan) meneruskan rawatan Siti Balqis Mohd. Nor di Kampung Gong Nangka, Besut, semalam.)

Bagaimanapun menurutnya, keadaan Siti Balqis akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan gadis itu benar-benar pulih daripada gangguan tersebut.
“Jika dalam tempoh 21 hari tiada gangguan berlaku, bermakna Siti Balqis dan keluarganya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya selepas selesai menjalankan rawatan terhadap Siti Balqis di Kampung Gong Nangka, dekat sini malam tadi.
Beliau yang menjalankan rawatan ke atas Siti Balqis dan ibunya, Norizan Said kira-kira dua jam bermula pukul 7 malam hingga 9 malam turut menasihatkan masyarakat Islam supaya sentiasa mengamalkan ayat- ayat al-Quran bagi mengelakkan gangguan.
Pengamal rawatan Islam dari Pusat Rawatan Sinar Zamdurani itu berkata, kehadiran jin dalam sesebuah rumah boleh dikesan antaranya rumah tidak ada seri, rasa berdebar tanpa sebab selain bulu roma tengkuk dan lengan seseorang itu tiba-tiba meremang dan berdiri tegak.
“Jangan ketepikan soal alam ghaib ini atau menganggapnya sebagai tahyul kerana jika kita sendiri tidak mengalaminya, maka sukar untuk kita percaya apa yang berlaku ke atas Siti Balqis dan keluarganya.
“Begitu juga ada pihak menganggap laporan berita mengenai Siti Balqis ini sengaja dibuat-buat dengan tujuan untuk mensensasi dan melariskan surat khabar atau media lain,” katanya.
Mengenai 14 biji permata yang diperolehi Siti Balqis dan ibunya sepanjang tempoh gangguan sebelum didapati hilang, beliau berkata, semuanya berlaku dengan izin Allah.
“Ini mungkin pemberian Allah kepada ibu Siti Balqis yang sabar menghadapi pelbagai dugaan menimpa diri dan anak gadisnya itu dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Balqis kelihatan lebih ceria malah selera makannya bertambah berbanding sebelum ini.

0 Comments:

Post a Comment