17 Oktober 2010

Semoga mereka terus kekal dalam kebaikan


Kosmo ( Figura yang berhijrah)




MEREALISASIKAN perubahan nyata dalam diri kerdil manusia bukan semudah seperti disangka. Ia tidak boleh dirancang dengan mengikut intuisi hati. Soal keinsafan, ironinya, acap kali dimunculkan dalam beragam atmosfera.
Petunjuk atau hidayah yang dipancarkan daripada terbentangnya bumbung langit hanya diberi kepada insan terpilih. Sesiapa menerima anugerah istimewa itu, seharusnya mereka bertaubat dan menyesali setiap dosa lampau yang dilakukan lantas pulang semula ke akar umbi Muslim sejati.
Bukan hanya Sang Pencipta menyuluhkan cahaya kepada Malek dan Amy, sinar keinsafan turut terpercik kepada insan glamor serta tidak ketinggalan umat Islam lain. Pintu hati mereka dibuka selaut luasnya oleh Allah agar setiap manusia dapat mengikuti semula landasan ditetapkan oleh-Nya.
Kosmo! sekadar menyelitkan beberapa nama termasuk papan atas kemasyhuran yang telah terbuka jiwa untuk berhijrah. Ada di antara mereka membuat keputusan untuk bersara dan ada yang masih mahu bernafas dalam keseronokan dunia hiburan dengan dibatasi syariat agama.
Wardina Safiyyah
SEBELUM bernikah dengan Ikhwan Johari pada tahun 2003, pelakon dan model iklan jelita, Wardina Saffiyah Fadhullah, 31, pernah menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia lakonan. Kemudian, perlahan-lahan mengundurkan diri dan tidak muncul dalam siktom popular, Spanar Jaya.
Namun, setahun kemudian, dia yang telah bertudung kembali aktif sebagai pelakon dan pengacara program bercorak ilmiah. Malah, Wardina sempat menghasilkan dua buah buku – Mama Saya Lapar dan Siapa Alien bagi membantu ibu bapa menjadi penjaga cemerlang.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu: “Walau dulu saya merancang untuk meninggalkan dunia seni, ternyata tidak boleh kerana perasaan rindu. Kini, saya berlakon bukan untuk glamor. Ia sebaliknya atas dasar profesionalisme seorang artis dan keluarga masih keutamaan saya.”
Fauziah Ahmad Daud
CUMA satu yang berbeza – penampilannya kini lebih sopan. Dalam usia 48 tahun, dia masih menjadi bintang di hati peminatnya walaupun satu ketika dahulu pernah menyepi daripada dunia seni. Dia yang dimaksudkan ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.



Semua berubah sebaik sahaja penghibur itu pulang dari Tanah Suci Mekah pada penghujung tahun 1999. Dia yang gemar bergaya biarpun tidak menjolok mata, terus mengambil keputusan mengenakan tudung dan tampil lebih sopan bagi melambangkan sebenar wanita Islam.
“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Perubahan ini sebagai memenuhi tuntutan agama," jelas Ogy yang pernah menyihir audiens dengan filem-filem hebat seperti Azura, Puteri dan Suara Kekasih selain membina nama sebagai penyanyi pada tahun 1981.
Sheila Rusly
MENJEJAKKAN kaki ke Tanah Suci pada 9 Disember 2007 dan berada di rumah Allah selama 44 hari bersama suami, Jinggo, sekembalinya Sheila Rusly yang menjunjung gelaran Hajah mengambil kata putus untuk mengenakan tudung sebagai penghijrahan.
Memilih imej lebih sopan beberapa hari sebelum pulang ke tanah air, anak seni sarat antusias itu nekad bertudung selepas bersedia sepenuhnya. Jelasnya: “Alhamdulillah, pintu hati saya sudah terbuka untuk melakukannya. Harap Tuhan tetapkan hati ini bertudung selama-lamanya.”
Awal-awal mengingatkan diri dan peminat bahawa bertudung bukan merobah segala benda secara fizikal, Sheila mengaku dia masih insan sama. Cuma, selagi sesuatu perkara dilakukan baik dan tidak melanggar syariat, dia akan lakukan seperti biasa, sama seperti dahulu.
Noorkumalasari
IKRAR wanita sentiasa kelihatan bertudung hitam itu, dia sudah bersara dari dunia seni. Diam tidak diam, sudah 14 tahun dirinya yang pernah berselimut kemilau popular meninggalkan dunia glamor. Seluruh hidupnya, hanya untuk keluarga dan mendambakan diri mencari keredaan Ilahi.
Itulah kehidupan yang sedang dilalui oleh nama yang pernah mekar harum di laman hiburan tanah air, Noorkumalasari, dalam bidang peragaan, nyanyian mahupun lakonan. Bukan setakat tidak lagi bergiat aktif, menonton drama-drama juga sudah lama tidak menjadi agendanya.
“Hidup saya semakin tenang. Entahlah, minat saya terhadap seni telah lama mati. Dulu, ada juga terlintas di hati untuk berlakon filem atau drama bercorak keagamaan. Tetapi, memikirkan jadual penggambaran dan masa yang lama di lokasi, saya tidak sanggup,” jelas Noorkumalasari,54.
Azmil Mustapha
KETENANGAN terserlah pada wajah Azmil Mustapha , aktor yang pernah menjadi idola ramai ketika zaman mudanya semasa membintangi filem Ali Setan. Hari ini, kenakalan Ali dalam filem berkisar kisah cinta anak-anak remaja di Universiti Sains Malaysia itu, sudah tiada lagi.



Lelaki berusia 58 tahun itu sebaliknya lebih senang menggandakan usaha dengan mendakap selimut syurga yang akan memberi jaminan kepada hari esok. Melewati penghijrahan mengagumkan, daripada seorang anak wayang tersohor, dia berhijrah ke fasa kehidupan lain.
“Ajaib sungguh kuasa Allah. Bersyukur kerana Allah menyedarkan saya sebelum terlewat usia. Walaupun dunia seni masih menjanjikan yang indah, saya tidak menyesal,” ujarnya yang semakin pulih selepas diserang sakit jantung di Damsyik, Syria pada 28 September lalu.

0 Comments:

Post a Comment