SEORANG lelaki (dua dari kiri) yang membawa anak lelakinya untuk membeli nombor ekor ditahan dalam satu serbuan di Bahau kelmarin.
Anak teman bapa beli nombor ekor
Oleh SAJIDA ASRULAH KHAN
berita@kosmo.com.my
BAHAU – Seorang bapa sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak tetapi lain pula cerita seorang kaki judi di sini yang membawa anaknya ketika membeli nombor ekor.
Tabiat buruk bapa berusia 40-an tersebut terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama sekumpulan 16 lelaki beragama Islam dan seorang wanita di sebuah premis judi di sini kelmarin.
Kesemua mereka yang berumur antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS, Majlis Keselamatan Negeri dan polis.
Penyelaras Operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata, lelaki berkenaan membawa bersamanya anak lelaki yang baru berusia lima tahun ketika ditangkap membeli nombor ekor.
“Anggota penguat kuasa terkejut selepas mendapati salah seorang lelaki yang ditahan membawa anak lelakinya berusia lima tahun ke premis berkenaan.
“Lelaki tersebut pada mula cuba memberi alasan hanya berjumpa kawan tetapi selepas disiasat dia mengaku membawa anaknya untuk membeli nombor ekor,” katanya di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.