23 November 2010


1-

2-

3-


( http://tehranifaisal.blogspot.com/) 

Kesyahidan Mesti Dikenang


Baik ia kesyahidan di Memali (klik sini) atau kesyahidan yang lebih ulung iaitu kesyahidan Saidina Husin di Karbala, kedua-duanya mesti dikenang, dipestakan, dan dihidupkan demi membolehkan perjuangan atas nama akidah yang suci terus berjalan. Saya sendiri pernah mencatit sebuah puisi mengenang peristiwa kesyahidan di Memali (klik sini). Itu sahaja usaha kecil saya lama dahulu. Sebuah puisi. Maka jika ada penggiat filem ingin mengenang Memali kita harus memberi tabik hormat buatnya, klik sini.

Ada orang bertanya saya, kenapa mesti menangis mengenang kesyahidan Saidina Husin di Karbala? Saya ingin bertanya kembali, "Masakan tidak menangis dan mengenang pembunuhan terhadap keluarga Nabi Muhammad saw!" Memikir, mengenang dan menangisi akan kesyahidan pejuang adalah sesuatu yang fitrah. Melarang orang menangisi sesuatu peristiwa kejam adalah sesuatu yang menyalahi tabie.

Falsafah di sebalik tangisan tatkala mengenang kesyahidan seseorang perwira tentulah untuk menyemarakkan semangat jihad, membakar dan menyalakan sumbu perjuangan buat kita yang hidup ini. Kerana itulah pemerintah zalim Shah di Iran satu masa dahulu sangat takut dengan tangisan. Kerana tangisan itu, seperti telah terlihat dalam sejarah, bergumpal menjadi tenaga untuk dihalakan menjadi sebuah pemberontakan.

Saya beri satu misalan kecil, yang sangat kontemporari, pemuzik dan artis seperti Faizal Tahir boleh menangis dan terdorong untuk berjihad tatkala mengenang kezaliman Zionis terhadap umat Palestina. Kata beliau, “Saya tidak malu untuk berterus terang yang saya menangis melihat kesengsaraan saudara kita di bumi Palestin terutama penduduk Gaza. Sekiranya tidak bercanggah dengan jadual tugas dalam bidang seni, saya bersedia untuk meninggalkan isteri dan tiga orang anak saya bagi menyertai mana-mana misi kemanusiaan sebagai tanda sokongan saya kepada rakyat Palestin. Saya pun sanggup mati syahid”.

Nah, bagaimana kesyahidan Husin di Karbala tidak boleh ditangisi? Tangisan hanyalah permukaan. Tenaga dan semangat di sebalik tangisan itulah yang lebih utama. Kerana itulah bani Umaiyyah sangat gentar dengan tangisan, ratapan, dan rintihan Zainal al Kubra, saudara perempuan Saidina Husin setelah tragedi Karbala.

Mana tidaknya, sepanjang perjalanan dari Karbala ke Kufah dan kemudian ke Damsyik, Zainab dan sekalian ahlul bait menangis, menangis dan menangis. Jika saya berada di sisi jalan melihat perarakan kepala Saidina Husin tersebut saya juga tentu menangis dan meraung. Saya tentu akan lebih bersemangat dari Faizal Tahir, saya tentu nekad untuk menjatuhkan bani Umaiyyah yang kejam dan jahat membunuh keluarga Nabi Muhammad saw. Semangat dan tenaga kemarahan dan kekesalan itulah yang amat ditakuti oleh penindas seperti Yazid! Itulah juga yang ditakuti oleh Zionis. Zainab menangis bukan kerana dia suka menangis. Tangisan Zainab adalah senjata. Tangisan itulah yang telah menghidupkan tragedi Karbala sekian lama. Tangisan itulah yang menyuburkan Islam. Tangisan itulah yang membolehkan kita akses kepada Islam sebenar. Kerana Islam pada waktu itu telah terbahagi menjadi Islam istana dan Islam Muhammadi, iaitu Islam upacara dan Islam praktis. Kalaulah tidak kerana tangisan Zainab saya tidak dapat membayangkan apakah yang telah kita warisi hari ini. Tangisan Zainab telah membuatkan kita berfikir, bahawa Muhammad bin Abdullah bukan manusia biasa. Dia adalah nabi kita!

Justeru apa sahaja yang dilakukan atas nama mengenang kesyahidan adalah halal kerana falsafah mengatasi praktik. Tuhan sahaja tahu entah berapa kali catan lukisan Mahmoud Farshchiyan berjudul 'Petang Asyura' ini ditampilkan (klik sini). Ia adalah gambaran tangisan Zainab yang mengharukan. Ya, tangisan yang ditakuti sampai hari ini!

Tangisan orang tertindas amat menakutkan penzalim. Tangisan Masitah dan Asiah menakutkan Firaun. Tangisan Yaakub menakutkan anak-anak derhakanya. Kerana tangisan Ismaillah maka kita menghirup zam-zam sebagai simbol kepada pengorbanan seorang nabi, bapanya dan Siti Hajar. Jadi, jangan teguk zam-zam sebagai air biasa. Ini kerana orang bukan Islam sendiri sudah biasa minum air zam-zam. Tetapi minumlah ia sebagai tangisan, sebagai air mata yang mana kita berikrar untuk menegakkan agama yang dihidupkan oleh Ismail dan kemudian Nabi Muhammad saw. Sambil meneguk zam-zam itu kenangilah juga Saidina Husin yang syahid di Karbala dalam kehausan kerana sumber airnya disekat oleh tentera musuh, semoga Allah melaknat mereka semua.

Ada orang mengatakan saya syiah kerana 'membesarkan' kejadian pedih di Karbala. Biarlah. Orang yang bercakap seperti itu adalah manusia yang menganggap Muhammad hanyalah seorang Muhammad. Seorang Muhammad biasa. Yang menganggap zam-zam sekadar air mineral yang jernih. Saya menganggap ia lebih dari itu. Saya 'membesarkan' Karbala kerana saya menganggap Muhammad adalah seorang Rasulullah saw, yang mana saya berselawat untuknya dan keluarganya dalam solat lima waktu saya. Mengenang kesyahidan Karbala bukan milik syiah sahaja. Ia milik kita juga sunni. Begitulah, mengenang kesyahidan Memali bukan milik PAS sahaja tetapi ia adalah milik semua insan yang anti penindasan, kekejaman dan kezaliman. Ia adalah milik semua yang menginsafi bahawa perjuangan Islam harus ditunaikan dengan air mata. (* Foto di sisi adalah foto seorang penyokong badan bukan kerajaan Perkasa yang menangisi peristiwa kejam di Palestina ketika demo di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat beberapa bulan lalu.)

Kerana itu saya kini faham keperluan menangisi kesyahidan di Memali, supaya kita tetap dan kekal mengenang kejahatan, kezaliman, penindasan dan berikrar untuk tidak bersekutu dengannya. Sebuah puisi saya tentang Memali tidak memadai. Kerana itu saya mengarang drama pentas Karbala dan cerpen 'Tunggu Ana di Karbala'. Kerana itu adalah keperluan untuk kita mengenang kesyahidan di Karbala, malah lebih lagi, kerana cucu Nabi Muhammad saw iaitu Saidina Husin yang dibunuh pemerintah Umaiyyah. Kerana itu jika merenung dan menjejaki kesyahidan Husin, kita akan mendapati dia telah terbunuh lebih awal lagi, iaitu sebaik sahaja nendanya Rasulullah SAW itu sendiri pergi.

Mengapa saya mencatitkan semua ini di sini? Kerana saya ingin mengingatkan diri sendiri, para jemaah haji yang sedang berpulangan dan kita yang menanti bahawa kesyahidan itu harus dihidupkan dengan mengenanginya.

Kerana Saidina Husin tidak melengkapkan hajinya, ia malah meninggalkan kaabah untuk menunaikan puncak dan falsafah kepada haji itu sendiri, iaitu mengorbankan diri sendiri demi menghidupkan agama.

Itulah, itulah sebabnya pengorbanan Ibrahim-Ismail sangat bertalian dengan pengorbanan Husin-Zainab!(

( http://tehranifaisal.blogspot.com/)

0 Comments:

Post a Comment