TIADA bukti menunjukkan penggunaan telefon selular menyebabkan barah otak. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR -[Kosmo] Frekuensi elektromagnet telefon selular terbukti selamat dan tidak boleh mengakibatkan barah otak, berlainan dengan pendedahan kepada radiasi mengion seperti radiasi nuklear.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Joseph Salang berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan kepada kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun ini yang memutuskan bahawa tiada kaitan antara risiko barah otak dan penggunaan telefon bimbit.
"Frekuensi elektromagnet telefon selular ini adalah tergolong dalam radiasi tidak mengion atau non ionized radiation iaitu ia tidak mempunyai cukup tenaga untuk menukar molekul-molekul di badan kita," katanya di Dewan Negara semalam bagi menjawab satu soalan Senator Mohd. Khalid Ahmad.