1-Firman Allah.
"Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangan) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah wahai Muhammad: Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka kemana sahaja kita diperintahkan Allah mengadapnya wajiblah kita mematuhi-Nya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. (al-Baqarah: 142)
2-Maksud BODOH
Asal perkataan bodoh atau safah pada bahasa Arab memberi maksud ringan dan nipis. Dikatakan baju yang yang safih apabila jahitan atau tenunannya nipis atau cepat rosak. Angin yang safah bermaksud bertiup dan condong.
Yang dimaksudkan lemah disini ialah lemah daripada mendapati kebenaran sekalipun cerdik dari segi keduniaan.
Bagi menjelaskan lagi maksud bodoh dinyatakan di sini beberapa pendapat ulama. Seperti yang disebut dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bodoh membawa maksud sukar mengerti atau mempelajari sesuatu, bebal, dungu, atau tolol.
Seterusnya dinaqalkan pendapat Nabi Muhammad, sahabat, ulama dan cerdik pandai:
Pertama:
Sabda Rasulullah yang bermaksud: Dan orang yang lemah (bodoh) siapa yang mengikut hawa nafsunya, dan bercita-cita ke atas Allah dengan berangan-angan.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Hakim, al-Quda’ie dan al-‘Askari.
Kedua:
Abu Hazim, Salamah bin Dinar pernah ditanya oleh Khalifah Sulaiman bin ‘Abd. al-Malik beberapa persoalan, antaranya: Siapakah yang paling bodoh di kalangan manusia? Jawabnya: Lelaki yang mengikut hawa nafsu sahabatnya sedangkan sahabatnya zalim, maka beliau menjual akhiratnya dengan dunia yang lainnya.
Ketiga:
Pujangga berkata, orang yang bodoh adalah orang yang memerlukan orang untuk mencelanya, orang yang fakir adalah orang yang menganggap sedikit terhadap sesuatu yang banyak, dan orang yang buta adalah orang yang tidak boleh melihat cela dirinya.
Keempat:
Masruq berkata: Cukup seseorang menjadi bodoh, sombong dengan amalnya.
Kelima:
Pujangga berkata: Tanda kebodohan itu adalah membuang waktu, menangguh-nangguhkan taubat, bergantung kepada orang lain, derhaka kepada ibu bapa, dan menyebarkan rahsia orang lain.
Keenam:
Pujangga berkata: Terlalu banyak bergaul adalah kebodohan, percaya kepada siapa sahaja adalah kebodohan dan meminta tolong kepada mereka adalah kesialan.
Ketujuh:
Ahli Hikmah berkata: Enam perkara menunjukkan kebodohan:
a. Marah tidak pada tempatnya. Seperti marah pada seseorang, binatang atau lain-lainnya.
b. Bicara yang tidak berguna, kerana itu seharusnya seorang yang berakal tidak berkata kecuali jika penting dan berguna.
c. Pemberian yang tidak pada tempatnya seperti boros harta atau memberi kepada orang yang tidak akan berguna baginya.
d. Membuka rahsia kepada orang lain.
e. Percaya kepada semua orang.
f. Tidak membezakan antara kawan dengan lawan, kerana itu harus mengetahui siapa musuh dan siapa kawan. Kawan untuk ditaati dan musuh untuk diawasi, dan musuh yang utama ialah syaitan, yang benar-benar harus dijauhinya.
Ibn al-Jauzi berkata terdapat tiga pendapat berkenaan dengan golongan yang dianggap bodoh:
i. Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat al-Bara bin `Azib, Mujahid dan Sa'id bin Jubair.
ii. Mereka adalah ahli Mekah seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn `Abbas.
iii. Mereka adalah golongan munafikin, telah menyebutnya oleh al-Suddi dari Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas.
Imam al-Nasafi berkata:
Golongan Yahudi dianggap bodoh kerana mereka benci mengadap Kaabah dan tidak melihat masalah nasakh,
Golongan munafikin dianggap bodoh kerana loba mereka untuk menghina dan mencerca Islam
Golongan Musyrikin dianggap bodoh kerana ucapan mereka yang benci kiblat nenek moyang mereka.