04 Disember 2010


Kelantan Sediakan RM300,000 Biayai 100 Pasangan Pengantin Miskin
JELI, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan Kelantan melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri menyediakan peruntukan RM300,000 bagi membiayai 100 pasangan pengantin miskin yang ingin berkahwin di bawah Program Perkahwinan Perdana yang akan dilancarkan Sabtu depan.

Pengerusi jawatankuasa itu, Wan Ubaidah Wan Omar berkata ia sebahagian daripada RM1.5 juta yang disediakan kerajaan negeri di bawah program itu yang diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru sebagai usaha menangani kadar perceraian yang agak tinggi di negeri ini setiap tahun.

Bantuan itu merangkumi pembiayaan hantaran bagi pihak lelaki bernilai RM1,000, tidak termasuk sumbangan lain seperti pembiayaan majlis kenduri, persiapan tempat dan peralatan pasangan pengantin, katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis Forum Keluarga Rasulullah di Masjid Mukim Jeli, di sini Sabtu.

Wan Ubaidah berkata antara pengisian program itu ialah siri ceramah, majlis ilmu dan motivasi yang berasaskan pendidikan kekeluargaan bahagia atau "mawaddah", yang bertujuan mewujudkan institusi keluarga yang bahagia hingga ke akhir hayat.

Tanpa menyebut jumlah sebenar pasangan umat Islam yang terbabit dalam kes perceraian di negeri ini, beliau berkata Kelantan menduduki tangga ke lima atau ke enam berbanding negeri lain.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata urusetia jawatankuasa itu juga sedang menyiapkan kertas kaji selidik atau senarai semakan bagi mengenal pasti masalah dan punca keruntuhan rumah tangga.

"Kertas kaji selidik atau senarai semak ini lebih kepada berasaskan konsep muhasabah diri di kalangan keluarga di seluruh negeri bagi mencari jalan penyelasaian untuk mengatasi masalah setiap keluarga," katanya.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment