14 Februari 2011


Pemuda Umno Perak Mahu Pendaftaran Pengundi Secara Automatik
IPOH, 14 Feb (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak hari ini mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pendaftaran automatik bagi mengatasi masalah rakyat yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata langkah itu sesuai dilaksanakan kerana sehingga kini terdapat lebih 4.9 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi.

Khairul Azwan berkata pendaftaran automatik itu boleh dibuat berpandu kepada alamat di dalam MyKad dan SPR selepas itu boleh menghantar notis rasmi kepada mereka untuk memilih kawasan mengundi.

Katanya, sekiranya tiada sebarang respons dari pengundi tersebut, SPR boleh memutuskan untuk terus mendaftarkan mereka di alamat mengikut MyKad.

Beberapa pihak pernah membuat cadangan serupa sebelum ini.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment