DUA orang penunjuk perasaan duduk di celah roda sebuah kereta kebal di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.
KAHERAH – Perhimpunan ribuan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak masih diadakan semalam sejak 25 Januari lalu.
Perhimpunan itu dibuat semasa penduduk Mesir kembali semula menjalani kehidupan harian dengan sejumlah
bank dan pasar mula dibuka di sini.
Trafik di bandar ini kembali sesak manakala lorong-lorong dipenuhi dengan orang ramai selepas pihak pemerintah meminta para pekerjanya kembali ke pejabat.
Lebih banyak kedai dan perniagaan mula dibuka semula.
“Adalah baik untuk bekerja semula. Saya tidak pernah meninggalkan rumah sejak demonstrasi bermula dan saya merindui kehidupan saya,” kata seorang peguam, Dalia Fahim.
Di bandar kedua terbesar di Mesir, Iskandariah, para pekerja universiti kembali bekerja manakala para pelajar masih bercuti.
“Kehidupan seperti pulih sedia kala di sini, terdapat ramai orang berbaris di bank, orang ramai di jalanan dan banyak pengangkutan awam di sini,” kata seorang profesor universiti.
Pengemis dan penjaja menjual tisu, biskut dan barang kecil yang lain.
Bilangan orang awam yang membuat kawalan sendiri juga semakin berkurangan semasa anggota-anggota polis mula kembali bertugas di kawasan-kawasan perumahan. – Agensi
Utusan: Kaherah masih tegang
|
Pelanggan beratur sehingga melimpah di luar Bank Kaherah untuk mengeluarkan wang dari akaun mereka di Kaherah, semalam. – Reuters |
KAHERAH 6 Feb. – Suasana di Kaherah semakin pulih tetapi masih tegang sejak perhimpunan besar-besaran yang dipanggil ‘yaumul rohil’ atau hari pengunduran di Dataran Tahrir di sini, Jumaat lalu.
Banyak kedai perniagaan, restoran dan bank telah memulakan operasi masing-masing hari ini, dengan jalan raya kelihatan sibuk dengan orang ramai.
Menurut penduduk yang ditemui di sini, kebanyakan penunjuk perasaan sudah mula keletihan dan mengambil kesempatan untuk berehat selepas berhimpun di dataran tersebut sejak 25 Januari lalu.
Bilangan penunjuk perasaan masih dalam ribuan orang yang mengambil keputusan untuk kekal berkampung di dataran tersebut sebab bimbang tidak boleh masuk semula akibat kepungan pihak tentera.
Cubaan wartawan untuk memasuki kawasan Dataran Tahrir pada sebelah pagi ini juga menghadapi jalan buntu apabila teksi yang membawa wartawan Utusan Malaysia diarah berpatah balik oleh anggota tentera yang menutup laluan ke kawasan dataran, lengkap dengan kereta kebal.
Oleh kerana beberapa insiden yang menyaksikan wartawan asing ditahan dan dipukul oleh kumpulan tertentu (dipercayai pro-kerajaan), wartawan Utusan Malaysia mengambil keputusan untuk kembali ke Kedutaan Malaysia di Mohandessine, Giza.
Kebimbangan tidak terpusat pada kemungkinan ditahan oleh tentera Mesir kerana lazimnya mereka akan melepaskan wartawan apabila disahkan oleh Kedutaan Malaysia, misalnya.
Namun, kebimbangan yang sebenar terletak pada ancaman daripada ‘anasir ketiga’ yang menjadikan wartawan sebagai sasaran kemarahan mereka.
Hujan sejak malam Sabtu juga menyebabkan ramai penunjuk perasaan tidak keluar. Perintah berkurung yang dilaksanakan bermula pukul 5 petang hingga 7 pagi juga menyulitkan perjalanan. – Utusan