27 Februari 2011

Hukum hisap shisha...HARAM

 




HANYUT dalam kelembutan irama ghazal yang bertambah rancak, para pengunjung berketurunan Arab semakin asyik menghisap paip panjang yang disaluti aksesori seakan-akan ekor unta itu.
Selang beberapa saat kemudian, kepulan tebal asap dengan aroma Salom dihembus perlahan-lahan melalui mulut dan hidung.
Dengan mata yang masih tertutup, kaki yang dihentak perlahan mengikut alunan muzik ala padang pasir cukup untuk memberitahu keasyikan penggemar shisha menikmati santapan harum tersebut.
"Untuk mendapatkan nikmat menghisap shisha, anda perlu tahu teknik yang betul. Jika tidak, anda akan mudah terbatuk," ujar seorang pengunjung warga Tunisia, Suleiman Chalgoumi, 35, kepada Jurnal.
Dia sering berkunjung ke negara ini atas urusan perniagaan selain menziarahi keluarganya. Jurutera elektrik ini tidak akan melepaskan peluang untuk bertandang ke Sahara Tent, sebuah restoran milik warga Iraq yang menyajikan masakan Arab di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.[klik tajuk untuk membaca seterusnya]


BEKAS shisha dari Arab Saudi dan UAE dikatakan yang terbaik.



Kemestian
"Dalam setahun, sekali atau dua kali saya akan ke Malaysia. Jika dulu agak sukar untuk jumpa kedai yang jual shisha, tetapi sekarang ia ada di mana-mana," katanya.
Seperti Suleiman, ribuan pengunjung, ekspatriat mahupun pelajar dari Timur Tengah menjadikan malam hujung minggu sebagai masa untuk berkumpul dengan rakan-rakan sambil menghisap shisha.
Lokasi pilihan mereka sudah tentu restoran yang menyajikan hidangan timur tengah di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.
"Menghisap shisha bersama rakan-rakan sambil menikmati kehidupan malam di Kuala Lumpur sudah menjadi rutin mingguan kami.
"Selain berjumpa dengan kawan-kawan, menghisap shisha juga mengingatkan saya kepada keluarga di Istanbul, Turki.
"Shisha adalah trend yang sangat digemari di negara saya. Malah, setiap petang pada musim sejuk, kami akan pergi ke kedai-kedai kopi untuk menghisap shisha," ujar Emre Ozal, 45.
Menggemari perisa Salom dan Zaghol kerana rasanya yang lebih 'keras', warga Turki ini sedar tentang bahaya tembakau shisha yang dihisapnya, namun itu tidak menghalang minatnya terhadap shisha.
"Di Turki, kami menyebut shisha sebagai nargile. Ramai berpendapat menghisap shisha boleh memberi kelegaan, terutama selepas penat bekerja.
"Malah, sudah jadi kebiasaan bagi sebilangan besar warga Turki untuk menghisap shisha sebelum pulang ke rumah," katanya yang menganggap shisha sebagai pencuci mulut selepas menikmati hidangan berat khususnya makanan yang berempah.
Budaya menghisap rokok tradisional yang berasal dari Gujerat dan Rajastan, India ini lebih sinonim dengan dunia Arab.
Dikenali dengan pelbagai nama seperti hookah, narghile atau gaylan, populariti shisha terus berkembang ke seluruh dunia.
Dari Afrika, Eropah hingga ke Asia, shisha sudah menjadi suatu hobi yang tidak sukar untuk ditemui apatah lagi jika negara itu mempunyai komuniti yang berasal dari Asia Barat.

SAHARA Tent di Bukit Bintang merupakan restoran Arab yang menjadi tumpuan penggemar shisha.



Penarik
Seperti di Malaysia sendiri, gelagat anak-anak muda, tidak kira lelaki mahupun perempuan, menghisap shisha bukan lagi asing khasnya di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang.
Menurut penyelia di Sahara Tent, Rafiquel, 38, lebih 50 peratus pelanggan yang memesan shisha terdiri daripada rakyat tempatan.
"Ketika restoran ini dibuka sembilan tahun lalu, kami turut memperkenalkan shisha dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
"Dengan harga RM20 untuk satu sisha, kami boleh menjual hingga 100 shisha sehari.
"Ini menunjukkan orang Malaysia sudah mula menerima shisha sebagai budaya dalam hidup mereka.
"Malah, ada juga menganggap menghisap shisha satu kemestian jika keluar bersama rakan-rakan sama ada ke tempat makan atau tempat hiburan," katanya.
Kemasukan budaya shisha pada tahun 90-an telah mencetuskan demam shisha di negara ini.
Tidak hanya bertumpu di restoran bercirikan Arab, kafe dan restoran tempatan yang menjual makanan ala Siam juga sudah banyak yang menawarkan shisha di premis mereka.
"Shisha kini boleh dianggap sebagai daya penarik untuk kafe atau kedai makan," tutur Mohd. Yazid Yahya, 30, yang mempunyai sebuah kedai shisha di Kampung Baru.
Biarpun masih dianggap sebagai trend baru, namun menurut Yazid, keunikan shisha telah menarik minat sebahagian besar golongan muda.
"Saya dulu juga seorang peminat shisha. Selesa melihat budaya ini semakin diterima anak muda, saya cuba untuk berniaga shisha. Alhamdulillah, perniagaan saya semakin meningkat maju," ujarnya.
Yazid yang pernah menjadi pelanggan tetap Azim's Shisha yang beroperasi di Medan Selera Rasta di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur menimba kemahiran menyediakan shisha daripada sifunya yang hanya mahu dikenali sebagai Azim, 30.
Piramid
Selain Yazid dan Azim, terdapat lebih 50 anak muda Melayu menjual shisha di sekitar Lembah Klang.
Terkenal sebagai lokasi popular buat penggemar shisha, Azim yang beroperasi di Medan Selera Rasta cuba memberi kelainan dalam penyediaan shisha kepada pelanggannya.
"Berniaga shisha bukan hanya menjual, tetapi turut memberi perkhidmatan.
"Untuk mendapatkan kualiti shisha yang bagus, kita perlu ada kemahiran dalam penyediaannya, begitu juga dengan penjagaan arang," katanya.
Bagi memastikan kualiti tembakau, Azim mengimport tembakau khas untuk shisha dari Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dan juga Amerika Syarikat.
Tidak hanya gemar menghisap shisha, dia juga suka mengumpul koleksi shisha pelbagai bentuk yang dibeli ketika melancong ke luar negara.
Antara yang menjadi kegemarannya ialah shisha yang dibeli di Turki dan Australia.
"Shisha yang dibeli di Australia bentuknya unik, seperti piramid manakala shisha buatan Turki dihasilkan daripada seramik berwarna biru kobalt yang dihiasi dengan tulisan purba Turki.
"Selain mencari shisha untuk dijadikan koleksi dan dekorasi rumah, adalah menjadi kemestian untuk saya mencari dan menghisap shisha di semua negara yang saya lawati antaranya Perancis, Australia, Switzerland, Turki dan Maghribi.
"Saya pertama kali menghisap shisha di England, ketika berumur 18 tahun. Saya diperkenalkan kepada shisha melalui seorang rakan yang berasal dari Palestin," katanya.
Sejak itu, Azim mula menggemari shisha malah dia turut membeli satu set shisha untuk keperluan dirinya sendiri.
"Lebih kurang enam tahun lalu seorang pelanggan bertanya kepada saya, mengapa anda tidak menjual shisha sedangkan anda begitu menggemarinya?
"Lantaran itu, saya mula teroka perniagaan shisha dan cuba untuk menyediakan shisha dengan cara saya sendiri," katanya yang mempunyai 50 buah shisha di kedainya.

AZIM’S Shisha menawarkan 40 perisa tembakau kepada pelanggannya.



Sungguhpun Azim dan rakan-rakannya menjadi penghisap shisha tegar, mereka tidak menghisap rokok.
"Rokok memang membahayakan kesihatan kerana kandungan toksin yang tinggi.
"Berbeza dengan shihsa, ia hanya mengandungi 0.05 peratus sahaja nikotin daripada tembakau yang digunakan.
"Tembakau tersebut dicampur dengan gliserin, sirap pekat buah-buahan dan pelbagai perisa pilihan. Itu sahaja.
"Orang ramai sering menganggap shisha lebih bahaya daripada rokok kerana nampak asap berkepul-kepul keluar dari mulut. Hakikatnya, ia tidak seteruk rokok," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Azim memberitahu, asap yang terhasil apabila menghisap shisha bukan dihasilkan daripada pembakaran tembakau sebaliknya daripada pemanasan sirap gula, gliserin dan perasa.
"Saya juga memasukkan ais dalam bekas shisha supaya hasil sedutan sejuk apabila masuk ke dada," jelasnya.

Hukum hisap shisha

[ http://muis.ismaweb.net]
Assalamualaikum ustaz,
Apa hukum menghisap shisha? Adakah sama dengan hukum menghisap rokok? Dan adakah kesannya sama dengan rokok? syukran ustaz..

Jawapan:
الحمدلله والصلاة والسلام علي رسول الله وعلي آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Sebenarnya soalan seperti di atas pernah ditanya kepada bekas mufti Arab Saudi, iaitu Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz.  Jadi di sini saya memilih untuk menjawab soalan di atas dengan menterjemah jawapan yang telah diberi oleh bekas mufti Arab Saudi. Terjemahannya adalah seperti berikut:
Soal: Apa hukum menghisap shisha? Adakah hukumnya sama dengan hukum merokok? Adakah shisha dan rokok termasuk dalam dadah yang diharamkan?
Jawab: Menghisap shisha dan rokok dan segala jenis-jenisnya termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan kerana kedua-duanya mengandungi kemudaratan yang banyak. Pakar-pakar perubatan telah menjelaskan kesan-kesan buruk kedua-dua perkara tersebut (hisap shisha dan rokok). Sesungguhnya Allah swt telah mengharamkan ke atas orang Islam melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. Oleh itu adalah wajib bagi mereka yang menghisap shisha atau rokok supaya berhenti dan berwaspada daripada perbuatan tersebut kerana firman Allah swt: 
يسئلونك ماذا أُحل لهم قل أُحل لكم الطيبات 
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhamad), "Apakah yang dihalalkan bagi mereka"? Katakanlah, "Yang dihalalkan bagi kamu adalah yang baik-baik. (al-Maidah: 4)
Dan firmannya lagi:
ويحل لهم الطيبات ويحرم عليهم الخبائث
Maksudnya: Dan dia (Muhamad) yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka. (al-A'raf: 157)
Dan kesemua jenis rokok dan shisha termasuk dalam perkara buruk yang memudaratkan manusia. Maka kesemua jenis rokok dan shisha adalah haram berdasar dengan dua ayat al-Quran di atas apabila diperhati maksud kedua-duanya. Kita memohon kepada Allah swt memberi petunjuk kepada orang Islam mengenai apa yang baik dan yang dapat menyelamatkan mereka. Juga memohon agar Allah melindungi mereka daripada perkara-perkara yang memudaratkan mereka di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik tempat memohon. (tamat jawaban bekas mufti Saudi)
Saya juga sempat bertanya kepada doktor pakar, Prof. Madya Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin mengenai kesan buruk menghisap shisha. Adakah kesan menghisap shisha sama dengan kesan menghisap rokok? Jawaban ringkasnya, kesan menghisap shisha adalah sama atau lebih buruk bergantung kepada bahan perasa atau tambahan yang digunakan semasa menghisap shisha.
Sebagai kesimpulan, menghisap shisha adalah haram sepertimana haramnya menghisap rokok dan kesan mudarat menghisap shisha adalah sama atau lebih buruk daripada kesan menghisap rokok mengikut bahan perasa atau bahan tambahan yang digunakan.
Sekian والله أعلم
Rujukan:
1) Website: http://muntada.islamtoday.net/t61245.html
2) Soal jawab dengan Prof. Madya Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin

0 Comments:

Post a Comment