Aziz Muda (Harakahdaily) |
KUALA LUMPUR, 24 Mac: Kerajaan PAS Kelantan terus menjadi mangsa diskriminasi Kerajaan Persekutuan sejak memerintah negeri itu 20 tahun lalu dengan pelbagai cara, terutama menerusi 17 aspek yang dapat dikesan dengan nyata. Tindakan diskriminasi pertama yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan berlaku apabila Kerajaan Pusat menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sebaik sahaja PAS berjaya memerintah negeri itu pada tahun 1990, bagi tujuan mengganggu sistem pentadbiran kerajaan negeri. Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menjelaskan, dengan wujudnya JPP, berlakulah sistem dualisme dalam pentadbiran negeri Kelantan, apabila turut diwujudkan kakitangan jabatan di peringkat negeri, jajahan, daerah sehingga di kampung-kampung. Menurut beliau, disebabkan keadaan itu, di negeri Kelantan turut terdapat dua penghulu bagi setiap daerah, apabila seorang darinya dilantik oleh kerajaan negeri dan seorang lagi dilantik oleh Kerajaan Persekutuan yang memainkan peranan menerusi JPP. Katanya, tindakan tersebut merupakan satu penderaan yang amat nyata dari Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan, akibat permainan politik kotor para pemimpin Umno BN yang marahkan rakyat Kelantan menyokong PAS pada PRU tahun itu. "Lanjutan dari itu, Tok Guru Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan hanya sempat mempengerusikan sekali sahaja Majlis Tindakan Negeri Kelantan. Selepas itu majlis itu dibubarkan dan tidak lagi dibenarkan mana-mana agensi Persekutuan hadir ke dalam Majlis Tindakan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan," katanya. Ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, beliau menjelaskan, tindakan diskriminasi ketiga, Menteri Besar tidak lagi dilantik menjadi Pengarah Keselamatan Negeri Kelantan, tempatnya digantikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Keempat, baja subsidi tidak lagi diberikan secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan, khususnya yang bekerja sebagai petani, tetapi hanya diberikan kepada mereka yang mendapat sokongan dari JPP yang tentunya hanya kepada para penyokong Umno BN sahaja. "Akibatnya, Kerajaan Negeri Kelantan mulai tahun 1991 terpaksa membelanjakan RM3.2 juta di dalam belanjawan negeri bagi menampung pembiayaan baja subsidi kepada para petani," katanya. Kelima, menurut beliau, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi dijemput di dalam Mesyuarat-mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dikatakan MBs Club, sebaliknya dijemput pemimpin Umno yang kalah dalam pilihanraya menghadiri mesyuarat itu mewakili Menteri Besar. "Keenam, geran Persekutuan dalam benteuk capitation grant, federal road grant, growth grant, dalam bentuk geran keseimbangan dan lain-lain diberi amat lewat. Ini kami di negeri Kelantan untuk tahun ini dibayar tahun hadapan, sedangkan di negeri-negeri lain ada yang dibayar tiap-tiap bulan, ada yang dibayar pada bulan Januari dan Jun," tegasnya. Ketujuh, peruntukan geran rumah awam kos rendah sebanyak RM12 juta yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan melalui pihak Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan telah ditarik balik sebaik sahaja PAS berjaya memerintah Kelantan. Kelapan, jelas beliau, permintaan Tuan Guru Nik Aziz sejak tahun 1991, menerusi pertemuannya dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad agar diwujudkan satu pelabuhan di Kelantan, tetap tidak dilayan oleh Kerajaan Persekutuan hingga kini. "Kesembilan, Tok Guru minta supaya tanah yang telah pun diambil di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa untuk memanjangkan landasan penerbangan, sampai ke hari ini pun tidak dapat digunakan lagi," katanya. Kesepuluh, royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan tetap terus dinafikan sehingga hari ini, sehingga kerajaan Kelantan terpaksa membawanya ke mahkamah untuk mendapatkan royalti minyak dan gas hak rakyat negeri Kelantan. "Kesebelas, apabila berubah kerajaan, wakil kerajaan negeri untuk berada di dalam Lembaga Pengarah KESEDAR tidak lagi diminta daripada kerajaan negeri, tetapi dilantik mengikut kesukaan pihak Kerajaan Persekutuan sendiri. "Keduabelas, pengambilan peneroka untuk menduduki Felda dihentikan. Kemudian mereka majukan sendiri dan mengambil untung melalui apa yang dinamakan ladang Felda Plantation. Pada hal, tanah Felda diberikan oleh kerajaan negeri untuk dimajukan, dibangunkan dan menempatkan peneroka," jelasnya. Pentadbiran Majlis Sukan Negeri Kelantan, menurut Wan Abdul Rahim, sehingga kini turut didiskriminasikan oleh Kerajaan Pusat terhadap kerajaan Kelantan, sehingga menjadikannya tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri dan seperti mempunyai dua identiti, tidak seperti di negeri-negeri lain. "Begitu juga dengan agensi-agensi pelancongan. Pada hal kita sudah ada Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) yang di bawah Exco yang jaga portfolio pelancongan, ada pegawai kerajaan yang ditugaskan menjadi pengarahnya, tetapi Kementerian Pelancongan melantik pula satu agensi lain untuk mengendalikan soal-soal pelancongan di Kelantan," ujarnya. Beliau turut kesal kerana Yang di-Pertua Dewan Rakyat sendiri turut terpengaruh dengan suasana politik negara, apabila Majlis Persidangan Speaker-Speaker Malaysia yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat sudah tidak diadakan lagi, sejak PRU tahun 2008 lalu. "Kemuncak penderaan yang dilakukan oleh pihak berkenaan di Kelantan, apabila Umno Negeri Kelantan menjemput pemimpin-pemimpinnya pada satu hari dalam tahun 1993, buat satu pentas di Padang Sekolah Ketereh di Kota Bharu, jemput seorang kerabat kononnya dari Kuala Lumpur naik ke pentas dan mengangkat tangan. "Serentak dengan itu dilaungkan "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku" dan diikuti oleh semua orang Umno di situ. Tabal Raja baru di Kelantan pada tahun 1993. Ini bukan pembohongan. Ini bukan fitnah. Ini ada rakaman yang dibuat oleh polis dan agensi-agensi. "Jadi sampai ke hari ini, saya sebagai rakyat negeri Kelantan tertanya-tanya, bilakah pendakwaan akan dilakukan terhadap penderhaka ini? "Ini yang betul-betul menderhaka. Kita, budaya Melayu, kita orang Melayu. Kalau kita angkat tangan kepada satu orang menyatakan "Daulat Tuanku", sebenarnya kita menderhaka kepada Raja yang ada di negeri masing-masing," ujar beliau. Beliau turut membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong. |