Ustazcyber: Hindarilah dosa mendurhakai ibu-bapa, kerana redha Allah berkait dengan redha kedua mereka. Antara dosa yang akan disegerakan balasannya oleh Allah SWT di dunia ini lagi adalah dosa pengdurhakaan seorang anak terhadap ibu-bapa mereka .
Warga emas dihalau, ditumbuk keluarga sendiri
KUALA KUBU BHARU 18 Mac – Selama 18 tahun, Wong Soo Tian (gambar) sanggup merantau ke Indonesia bekerja di beberapa kem pembalakan di tengah hutan belantara semata-mata mahu mencari rezeki untuk menyara isteri dan tiga anak tercinta.
Sepanjang tempoh tersebut, Soo Tian tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa apabila setiap bulan mengirim wang untuk perbelanjaan keluarga, malah sentiasa mencari kesempatan pulang ke tanah air menjenguk mereka jika ada kelapangan.
Namun, Soo Tian kini berusia 81 tahun tidak menyangka akan dibuang oleh isteri dan anak-anak selepas bersara hanya kerana mereka enggan menjaga dirinya yang sudah tua.
Lebih malang, lelaki warga emas ini bukan sahaja tidak dibenarkan tinggal di rumah sendiri di Kampung Chong 5, Rasa di sini, malah turut ditumbuk dan diugut bunuh oleh anak sulungnya semasa merayu untuk menumpang berteduh di situ, petang semalam.
Soo Tian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di sini hari ini memberitahu, sebelum kejadian beliau menumpang di rumah saudaranya.