20 Mac 2011


Agrobank Laksana Perbankan Islam Sepenuhnya Pada 2015
JITRA, 19 Mac (Bernama) -- Agrobank akan melaksanakan sistem perbankan Islam tulen sepenuhnya pada 2015, kata Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata mulai tahun itu, semua produk dan perkhidmatan bank akan berlandaskan syariah dan tiada lagi perkhidmatan diberikan secara konvensional.

"Agrobank telah mula mempromosikan perbankan Islam melalui pemberian pembiayaan Ar-Rahnu (pajak adai), pinjaman pertanian, peribadi, pembelian harta, deposit dan sebagainya.

Perubahan ini tidak akan dilaksanakan secara drastik walaupun sambutan pelanggan bukan Islam terhadap perbankan Islam sangat menggalakkan," kata Ahmad kepada pemberita semasa ditemui pada program khidmat masyarakat dan kenduri rakyat Agrobank di Kampung Budi, Mukim Naga dekat sini, hari ini.

Program itu rasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Ahmad berkata Agrobank merancang membuka Ar-Rahnu di 20 hingga 25 lagi cawangannya tahun ini. Pada masa ini 88 daripada 167 cawangannya, menyediakan perkhidmatan itu dengan transaksi bernilai kira-kira RM600 juta.

Menurutnya Agrobank telah melantik lima anggota Jawatankuasa Syariah yang akan menilai setiap produk berlandaskan syariah dan dipersetujui pemegang kepentingannya sebelum menawarkan produk tersebut kepada orang ramai.

"Setiap produk Agrobank berlandaskan syariah sepenuhnya. Kita tidak akan melaksanakannya atas nama syariah sekiranya tidak memenuhi kehendak Islam sebenar," kata Ahmad.

Mengenai Sabah dan Sarawak, beliau berkata walaupun sambutan di kedua-dua negeri itu kurang memuaskan, namun kajian menunjukkan potensi untuk Agrobank berkembang di sana adalah positif.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment