DUN Sarawak: Referendum uji 1 Malaysia Najib, kuasa 30 tahun Taib
ANALISIS, 16 April — Selepas tsunami politik Mac 2008, arena politik negara menyaksikan satu lagi detik penting yang akan menjadi ukuran populariti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Jika tiga tahun lalu, sekitar 11 juta orang pengundi menyertai gelanggang memberi mandat pada pilihan raya umum ke-12, yang turut menyaksikan pilihan raya Dewan Undangan Negeri semua negeri kecuali Sarawak, hari ini hampir sejuta pengundi menjadi harapan kepada kedua-dua perikatan itu dan juga calon-calon Bebas — dalam pilihan raya negeri Sarawak yang paling sengit.
Pun begitu, pilihan raya hari ini dilihat sebagai pungutan suara ke atas kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memimpin Sarawak sejak lebih 30 tahun.
Kepimpinannya genap tiga dekad pada 26 Mac lalu. Ketua Menteri paling lama memimpin ini, yang melangsungkan perkahwinan kali kedua tahun lalu ekoran kematian isterinya, turut berhadapan dengan siri dakwaan rasuah dan salah guna kuasa — membawa kepada keluarga dan rakan-rakannya mengumpulkan kekayaaan.
Meskipun dakwaan dan tanggapan sedemikian belum dibuktikan di mahkamah terbuka sehingga kini, penilaian pengundian dan masyarakat menjadi penentu dalam pengundian hari ini — hari penentuan — sama ada BN boleh mengekalkan pemerintahannya sejak Sarawak menyertai Malaysia pada 1963 atau PR akan melangkah ke bumi Kenyalang, kalau tidak menguasai kedudukan lebih baik kali ini.
Awalnya, PR dikatakan hanya akan memenangi beberapa kerusi tambahan berbanding lapan kerusi dikuasai pembangkang termasuk enam oleh DAP dan satu oleh PKR pada pilihan raya terakhir Mei 2006.
Buat julung kali pemimpin tertinggi BN, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pilihan raya negeri kali ini sebagai yang paling sengit dalam sejarah negeri Sarawak.
Beliau dilaporkan berkata sasaran BN ialah mempertahankan kerajaan negeri dan jika memperoleh majoriti dua pertiga ia adalah satu bonus.
Pembangkang menggunakan setiap isu sama ada tanah atau rasuah sepanjang kempen 10 hari lalu untuk memikat sokongan dengan menyasarkan Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Malah, isu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan kitab Injil versi Bahasa Malaysia atau Alkitab dilihat meningkatkan sentimen rasis di antara kaum Melayu-Melayu di mana pentadbiran Taib memihak dan masyarakat Cina dan Dayak Kristian.
Ia menyebabkan Taib yang mesra dengan panggilan “pek moh” menuduh tindakan meletakkan tag dan tanda pada Alkitab sebagai “tindakan bodoh.”
Pada 2 April lalu Putrajaya memperkenalkan penyelesaian 10 perkara. Malah ini bukan satu-satunya rasa tidak senang hati yang dapat dilihat dengan jelas melibatkan kerajaan BN negeri dan persekutuan.
Najib yang secara peribadi mengetuai kempen sepanjang enam hari terakhir juga cuba meredakan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi Sarawak dengan mengatakan bahawa Taib akan melepaskan jawatannya dalam waktu terdekat selepas pilihan raya.
Beliau seterusnya menjelaskan sudah ada pelan peralihan kuasa.
Kenyataan ini yang dikeluarkan pada malam Ahad lalu membuktikan isu Taib mendominasi pilihan raya negeri ini, yang buat pertama kali sengit dalam sejarah negeri Sarawak itu yang mempunyai penduduk tidak sampai tiga juga orang.
Bagaimanapun seolah-olah tidak bersetuju dengan pandangan Najib itu, Taib berkata, beliau bersedia melepaskan kedudukannya dalam “beberapa tahun.”
Menurut pemimpin-pemimpin veteran seperti Lim Kit SIang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, yang pernah berada dalam kerajaan sebelum dipecat pada September 1998, ini bukan kali pertama cakap-cakap mengenai peralihan kuasa muncul.
Pemimpin-pemimpin pembangkang mendakwa Taib pernah membuat janji-janji sedemikian tetapi tidak pernah menunaikan.
Najib dengan jelas melihat Taib sebagai liabliti dalam pilihan raya. Malah beberapa pemimpin Umno kanan yang ditemui awal tahun lalu juga pernah melahirkan pandangan sedemikian, ketika wujud desas-desus pilihan raya negeri akan diadakan pertengahan tahun lalu.
Jika tidak, berbanding sebelum ini, ini kali pertama seorang perdana menteri dan timbalannya menghabiskan sebahagian besar masa mereka membantu jentera BN termasuk tidak mengadakan mesyuarat mingguan Kabinet pada Rabu lalu.
Perkara ini juga diperakui oleh media-media yang prokerajaan pusat dan BN.
Laporan Bernama Online malam tadi menyebut, mengakhiri lawatannya ke kawasan penempatan masyarakat Iban di pekan Kapit dan Song di Hulu Rajang hari ini (semalam), Najib menyampaikan amanat terakhir kepada rakyat Sarawak sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
“Jangan undi ikut sentimen. Persoalan yang harus difikirkan oleh pengundi Sarawak ialah kerjasama antara pusat dan negeri untuk masa depan yang lebih terjamin (memandangkan) Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dan luas dan perlu banyak pelaburan terutama dari segi prasarana yang maju dan moden,” kata Najib yang juga Presiden Umno dan Menteri Kewangan.
Kata laporan itu, Najib telah muncul sebagai tunggak kempen BN selepas pembangkang melancarkan “serangan” bertalu-talu terhadap tempoh lama Taib Mahmud memegang jawatan sebagai Ketua Menteri.
Bertolak daripada dakwaan dan label Taib sebagai “liabiliti” kepada BN kali ini, laporan-laporan media memetik pemimpin parti komponen BN sendiri melemparkan kenyataan bahawa jika BN Sarawak gagal memperlihatkan kembali prestasi lalu khususnya membabitkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Umno, MCA dan Gerakan akan mengembangkan sayap masing-masing ke bumi Kenyalang ini.
Meskipun ada yang menganggap bahawa pilihan raya ini hanya pungutan suara ke atas kepimpinan Taib, tetapi ada juga yang melihat mandat hari ini juga akan menjadi ujian kepada kredibiliti dan gagasan 1 Malaysia yang dibawa Najib. Tahun ini genap dua tahun Najib menjadi perdana menteri dengan gagasannya itu.
Populariti beliau dikatakan masih tinggi, dalam lingkungan 69 peratus sebagaimana diumumkan oleh kajian Merdeka Center akhir tahun lalu. Najib sendiri cuba mengadakan pertemuan dengan masyarakat Kristian di Sarawak bagi menyelesaikan isu Alkitab.
Sebagaimana dikatakan oleh presiden Aliran, P. Ramakrishnan, kerajaan persekutuan sendiri berkempen di Sarawak.
Jika Taib gagal di Sarawak hari ini, ia juga dilihat sebagai petanda kepada gagasan 1 Malaysia Najib.
Sebagaimana pernah dikatakan awal bulan ini kepada Reuters oleh Najib, keputusan malam ini akan menjadi penentu dan kayu ukuran kepada tarikh pilihan raya umum ke-13 - yang pertama di bawah kepimpinan Najib.