15 April 2011

Semasa saya sedang belajar di Universiti Al-Azhar beberapa tahun yang lalu, Salah seorang Maha guru saya telah menasihatkan saya dan semua muridnya di dalam bilik kuliah, Katanya : "Jangan kamu tanyakan soalan yang sama kepada dua orang ulama, kerana dengan soalan kamu itu ia boleh menjatuh atau manaikkan maruah salah seorang di antara mereka ". Para pengamal media di Mesir selalunya bertanyakan satu soalan kepada Syaikhul Al Azhar, setelah soalan itu dijawab dengan sejelas-jelasnya. tiba-tiba mereka kemukakan pula soalan yang sama kepada ulama yang lain dengan niat untuk mempermain dan menjatuhkan maruah syaikhul Al-Azhar sahaja. 

 

Mufti Pahang: ‘Amalan berkabung tak canggah Islam, cuma adat’


KUALA LUMPUR, 15 April —[themalaysianinside] Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman mahu percanggahan pendapat mengenai isu berkabung selama 40 hari dibincangkan bagi mencari penyelesaian demi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Sehubungan itu beliau juga menolak andaian bahawa amalan berkabung 40 hari sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam, sebaliknya berkata ia hanya salah adat untuk memperingati kematian seseorang.
“Sebenarnya dalam Islam memang tidak ada soal berkabung 40 hari, yang ada hanya untuk wanita kematian suami.
“Amalan berkabung 40 hari ini biasanya adalah adat untuk memperingati jasa pemimpin negara atau kerabat diraja, ia hanya adat biasa dan ia bukan amalan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Awal minggu ini, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, amalan berkabung selama 40 hari sempena kematian pemimpin negara atau kerabat diraja yang diamalkan selama ini bercanggah dengan ajaran Islam.
Kata Asri, dalam ajaran Islam yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama empat bulan 10 hari dan bukan berkabung secara “berlebihan” sempena kematian pemimpin negara atau kerabat diraja.
Sehubungan itu jelas Abdul Rahman,  sepatutnya perkara itu dibincangkan terlebih dahulu secara khusus kerana ia bukan keputusan seorang individu.
“Kita kena bincangkan secara khusus perkara ini, ia bukan keputusan individu, saya juga tidak boleh kata ia salah atau tidak.
“Bagi saya ia hanya adat di satu-satu kawasan, jadi kita perlu bincangkan, bagi penerangan sebalum buat apa-apa keputusan,” katanya.
Bagaimanapun beberapa mufti lain enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata, amalan berkabung selama 40 hari itu diamalkan kerana orang Islam tidak memahami ajaran Islam yang sebenar.
“Memang betul, dalam syariat Islam tiada amalan berkabung 40 hari yang ada pun wanita yang kematian suami, perkara ini terjadi kerana orang kita tidak ambil peduli.
“Amalan berkabung ini memang tidak ada dalam Islam, segala bentuk amalan termasuk pakai baju hitam, memakai lilitan kepala dan sebagai tiada dalam Islam, jadi ia sepatutnya tidak diadakan kerana bimbang menyerupai budaya bukan Islam pula,” katanya.
Jelas beliau, Islam tidak menuntut umatnya untuk bersedih atau meratapi kematian seseorang, sebaliknya cukup dengan memberikan takziah serta bantuan.
“Islam tidak suruh orang bersedih terlalu lama, kalau ada kematian dan menurut adab Islam cukup dengan menyampaikan takziah atau memberikan pertolongan jika perlu.
“Kita tidak perlu nak buat benda yang tidak ada tapi diadakan, jangan buat benda yang akhirnya akan menjadi ikutan. Lebih baik amalan seperti ini tidak dibuat dan kita tidak mahu ia menyerupai budaya oranhg bukan Islam pula,” katanya.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, mana-mana amalan yang tidak dituntut dalam Islam termasuk berkabung selama 40 sempena kematian pemimpin negara atau kerabat diraja adalah tidak digalakkan.
Menurut beliau, istilah berkabung tiada dalam ajaran Islam dan amalan “meratapi” selama 40 hari kematian pemimpin negara dan kerabat diraja juga tidak dituntut dan ia sewajarnya tidak perlu dilakukan.
“Memang tidak ada (berkabung 40 hari), malah dalam Islam istilah berkabung itu juga tidak ada... apa yang ada adalah ‘idah’ bagi wanita kematian suami iaitu selama empat bulan 10 hari tapi ia bukan berkabung.
“Amalan ini memang tidak ada dalam Islam, saya tak tahu ia dari amalan atau budaya mana tapi seingat saya dalam Islam ia memang tidak ada,” katanya.
Tegas Sheikh Abdul Halim, adalah lebih baik sekiranya amalan berkabung selama 40 hari itu tidak diadakan kerana ia tidak dituntut dalam Islam selain dikhuatiri menyerupai amalan atau budaya agama lain.
“Buat apa kita nak buat perkara atau amalan yang tak dituntut dalam Islam, ia bukan dari ajaran Islam juga bukan budaya orang Islam, jadi kenapa perlu kita buat?
“Dalam Islam memang tidak ada upacara seperti ini, benda yang tidak ada kenapa perlu diadakan? Bagaimanapun walaupun ia tidak dituntut (dalam Islam) tapi saya tidak boleh kata ia tidak boleh diadakan atau diadakan.
“Cuma ingin saya tegaskan, amalan yang tidak dituntut dalam Islam dan kalau ia menyerupai amalan agama lain kita tidak boleh buat, jadi amalan seperti ini tidak perlulah untuk kita buat. Benda yang tidak ada dalam asas Islam tidak digalakkan atau tidak boleh dibuat, mudah kata tidak perlu buat,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment