09 April 2011


MUKAH, 9 April (Bernama) -- Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan orang ramai bahawa tindakan mencampuradukkan politik dan agama amat berbahaya.

"Jangan sesekali mencampuradukkan agama dengan politik. Tiada apa yang lebih mudah bergejolak, senang menimbulkan provokatif berbanding mencampurkan kedua-duanya (politik dan agama).

"Tidak dapat dielakkan, kita akan bergaduh jika kita cuba mempolitikkan agama, lebih-lebih lagi jika isu perkauman dibabitkan sama," katanya semasa merasmikan Gereja Kristian St. Peter/St. Paul bernilai RM10 juta di sini.

Menyentuh isu kira-kira 30,000 naskhah kitab Injil berbahasa Melayu di Kuching, Taib mendedahkan bahawa beliau sendiri dan bukannya pembangkang yang memperbetulkan keadaan berkenaan.

"Saya bercakap kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (mengenai hal kitab Injil itu)," katanya.

Taib berkata parti pembangkang hanya tahu untuk menimbulkan kemarahan orang ramai dan lebih-lebih lagi jika "kita semua mempunyai rasa marah dan curiga terhadap satu sama lain... antara orang Kristian, Islam, Hindu atau pun Buddha".

Membidas slogan pakatan parti pembangkang mendesak rakyat mengundi untuk melakukan perubahan dalam pilihan raya negeri 16 April ini, Taib berkata orang ramai perlu memikirkan perkara itu dengan semasak-masaknya.

"Saya telah melakukan perubahan di negeri ini sejak 50 tahun lalu. Orang ramai kini sudah semakin selesa. Mereka kini mempunyai taraf kehidupan lebih baik, gaya hidup yang lebih selesa. Kita mempunyai rangkaian jalan raya yang baik, kemudahan prasarana, sekolah-sekolah dan lebih ramai berpendidikan tinggi," katanya.

Beliau berkata mereka sepatutnya bertanya kepada diri sendiri apakah perubahan yang akan mereka lakukan untuk menukar kerajaan akan membawa kebaikan atau keburukan serta ke arah ketidakstabilan dan ketidaktentuan.

Taib berkata orang ramai akan berhadapan dengan masa hadapan tidak menentu jika mereka memilih pemimpin seperti Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita mesti mengekalkan apa yang telah kita ada... masyarakat yang bersatu padu, harmoni, stabil, makmur, progresif dan masyarakat yang dihormati di mana kita mempunyai kebebasan di mana kita mempunyai kebebasan untuk mencapai apa yang baik dan dihasratkan.

"Itu sebabnya apabila saya mengundurkan diri nanti saya akan menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada pemimpin baru, orang yang berkelayakan maka tidaklah berlaku perubahan ke arah keburukan," katanya.

  [bernama.]

0 Comments:

Post a Comment