MCA tetap bertegas membantah pengharaman sebarang bentuk perjudian di Kelantan termasuk tiket loteri dan bercadang membawa perkara itu ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ini kerana keputusan kerajaan PAS Kelantan mengharamkan perjudian itu menyalahi peruntukan perlembagaan yang turut menjamin hak-hak bukan Islam.
"MCA bukan menyokong perjudian tetapi apa yang dilakukan kerajaan PAS Kelantan mengharamkan judi jelas telah menyalahi peruntukan perlembagaan yang menjamin hak-hak bukan Islam dalam soal ini.
"Kami (MCA) tidak dapat menerima penjelasan pemimpin PAS Kelantan dan selepas ini kami akan berbincang di peringkat pusat untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin kerajaan Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Dr Chua mengetuai delegasi MCA yang terdiri daripada pimpinan parti termasuk Naib Presiden Gan Ping Siew dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong.
Kerajaan Kelantan pula diwakili Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Speaker Ahmad Zaki Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Annuar Tan Abdullah.