26 Mei 2011

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Semua tumpuan kini beralih kepada perebutan jawatan nombor dua PAS ekoran timbulnya persoalan sama ada Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa akan mempertahankan jawatannya atau menarik diri daripada pertandingan selepas Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan untuk bertanding jawatan itu.

Para pemimpin parti berkata kemasukkan Tuan Ibrahim dalam perebutan jawatan itu telah mengubah perkiraan, dinamik dan perspektif pemilihan parti memandangkan terdapat tiga pemimpin bertanding jawatan nombor dua, memaksa para calon menyemak semula strategi dan peluang mereka.


Selain penyandang, Nasharudin and Tuan Ibrahim, Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mohamad Sabu mengumumkan bahawa beliau juga akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

"Saya berpendapat Tuan Ibrahim mempunyai peluang baik untuk menang. Apa yang menarik adalah sama ada Nasharudin akan tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan jawatan.

Namun, Nasharudin berada dalam kedudukan sukar, sama ada terus bertanding ataupun menarik diri," kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Kamaruddin Jaafar.

Semua calon yang bertanding jawatan utama parti mesti mengesahkan penerimaan mereka untuk bertanding sebelum 26 Mei tetapi terdapat spekulasi bahawa Nasharudin mungkin tidak mempertahankan jawatannya.

Meskipun wujud spekulasi kemungkinan beliau menarik diri, Nasharudin ketika dihubungi kekal menyatakan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan disandangnya.

Beberapa penganalisis politik berkata jika beliau menarik diri, ia akan membawa gambaran kurang baik terhadapnya memandangkan beliau merupakan pemimpin pertama yang mengumumkan akan mempertahankan jawatan nombor dua parti untuk penggal ketiga, sejak 2005.

Begitupun, sumber parti menyatakan bahawa mungkin ada keputusan pada saat akhir yang menyaksikan calon menarik diri daripada bertanding seperti yang berlaku pada 2005, apabila Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Harun Din yang merupakan Ketua Penerangan parti ketika itu memutuskan untuk menarik diri.

Berikutan itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding sebagai Presiden PAS.

Pada Jumaat ini, Jawatankuasa Pemilihan PAS dijangka mengumumkan senarai nama calon yang layak bertanding bagi jawatan masing-masing semasa Muktamar PAS pada 3 hingga 5 Jun.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment