KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kekalahan mengejut 1-2 Selangor kepada T-Team nyata memberi ruang untuk Kelantan merampas kembali takhta Liga Super setelah mengalahkan Felda United 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam Khamis.
Keputusan itu membolehkan Kelantan memintas Selangor sebagai peneraju kedudukan liga dengan kelebihan satu mata, selepas mengumpul 43 mata dalam 20 perlawanan.
Kelantan memulakan perlawanan dengan agresif dan jaringan pembuka tirai hadir pada minit ke-30 hasil tandukan Mohd Badhri Mohd Radzi dari tendangan lambung Mohd Daudsu Jamaludin untuk menewaskan penjaga gol Felda United Mohd Hamsani Ahmad.
Skuad Red Warriors terus menggandakan asakan selang babak kedua bermula dan gol kedua Kelantan terhasil pada minit ke-46 hasil jaringan gol sendiri oleh pemain Felda United, Rashid Mahmud.
Namun Felda mengurangkan defisit apabila tendangan percuma Md Hasmarul Fadzir Hassan dari luar kotak penalti telah menembusi gawang Kelantan pada minit ke-84.
Lima minit kemudian Kelantan menjaringkan gol penutup tirai menerusi penalti yang disempurnakan oleh penjaring terbanyak liga, Norshahrul Idlan Talaha.
Di KUALA TERENGGANU, Selangor ibarat hilang taring apabila gagal mempertahankan penguasaan liga setelah tumpas 1-2 kepada pasukan kelab dari Terengganu, T-Team, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
T-Team terlebih dahulu menjaringkan dua gol masing-masing menerusi tandukan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-38 dan Indra Putra Mahyuddin menanduk gol kedua hasil hantaran Rosdi Talib pada minit ke-82.
Gol tunggal Selangor hadir pada minit ke-76 apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah Rosdi Talib mengasari Mohd Amirulhadi Zainal dalam kotak penalti dan gol pelawat itu telah disempurnakan oleh Safiq Rahim.
Di SHAH ALAM, Terengganu kekal di tangga ketiga liga dengan kekurangan satu mata di belakang Selangor apabila menang tipis 2-1 ke atas Harimau Muda A di Stadium Shah Alam.
Di KUANTAN, Pahang mensia-siakan peluang kelebihan bermain di tempat sendiri apabila tumbang 0-2 di tangan Kuala Lumpur di Stadium Darul Makmur.
Dua gol Kuala Lumpur masing-masing dijaringkan menerusi tandukan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-50 dan See Kok Luen yang membuat rembatan kencang ke gawang Pahang pada minit ke-65.
Di SEREMBAN, Negeri Sembilan tampil bertenanga apabila menang 2-1 ke atas Johor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan apabila Shahurain Abu Samah menjaringkan gol seawal minit ketujuh dan Shukur Adan merembat masuk bola ke gawang lawan pada minit ke-38 untuk gol kedua sementara gol tunggal Johor FC dijaringkan oleh Mohd Riduwan Ma'on pada minit ke-51.
Di IPOH, Md Rozaimi Abd Rahman membantu Sabah mengutip satu mata apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan untuk seri 1-1 dengan Perak di Stadium Perak.
Perak membuka tirai jaringan menerusi Shahrulnizam Mustafa pada minit ke-52.
-- BERNAMA