KUALA LUMPUR, 25 Mei[
malaysianinsider] – Perkasa hari ini memberi amaran kepada MCA dan MIC agar tidak campur tangan dalam isu pemberian biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk belajar di luar negara.
Justeru tegas Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali
(gambar), pihaknya mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar tidak tunduk kepada tekanan yang dibuat parti-parti politik termasuk dari Barisan Nasional (BN).
“Perkasa mendesak agar JPA tidak tunduk kepada tekanan mana-mana parti politik dalam soal urusan pemberian biasiswa.
“Ia urusan kerajaan dan MCA atau MIC jangan ganggu urusan JPA, Umno dan Pemuda Umno tidak ganggu JPA walaupun ramai Bumiputera tidak dapat biasiswa JPA dan pelajar Bumiputera yang tidak diberi biasiswa belajar di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Ahli Parlimen Masir Mas itu, sepatutnya semua pihak tidak memperbesarkan isu pembahagian biasiswa.
Beliau berkata pelajar-pelajar terbabit boleh meneruskan pengajian masing-masing dalam negara memandangkan semua kursus ada ditawarkan di pusat-pusat pengajian tinggi.
“Sepatutnya semua pihak bersyukur, belajar di mana-mana tidak menjadi soal apatah lagi belajar dalam negara sendiri, di mana-mana sudah banyak IPTA dan semua kursus ada ditawarkan.
“Ia juga menyelamatkan aliran wang keluar negara malah kosnya lebih tinggi. Membiayai seorang pelajar keluar negara boleh menampung dua hingga tiga pelajar belajar dalam negara,” katanya.
Kata Ibrahim, kuota pembahagian biasiswa yang dilaksanakan kerajaan sekarang menyebabkan Bumiputera terjejas.
“Biasiswa untuk keluar negara hanya pascasiswazah dalam disiplin yang tidak ada dalam negara, oleh itu Perkasa cadangkan biasiswa ijazah pertama keluar negara di mansuhkan dan hanya biasiswa untuk belajar dalam negara.
“Bumiputera amat terjejas dengan kuota 55-45 peratus antara Bumiputera dan bukan Bumiputera yang dibiayai oleh JPA,” katanya.
Semalam Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan Putrajaya tidak pernah menjanjikan biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk belajar di luar negara.
Sebaliknya kata beliau, kerajaan hanya komited untuk memastikan setiap pelajar cemerlang diberi jaminan tempat di institusi tempatan dan luar negara dengan biasiswa.