Sumber [
di sini] Selepas pencalonan ditutup, enam orang layak bertanding jawatan timbalan presiden PAS manakala 14 lagi layak bertanding untuk tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan parti Islam itu bulan depan.
Mereka yang layak bertanding timbalan ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Husam Musa (exco kerajaan Kelantan), Mohamad Sabu (bekas naib presiden), Nasharudin Mat Isa (penyandang) dan dua naib presiden - Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ia diumumkan oleh pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dalam satu sidang media hari ini.
Bagaimanapun Abdul Halim berkata pihaknya tidak mahu mendedahkan jumlah yang diperolehi oleh setiap calon.
"Kita tidak umum...Kita tidak mahu terlibat seolah-olah dibaca sebagai berkempen (kepada calon)," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti.
Manakala 14 yang layak bertanding naib presiden termasuklah tiga penyandangnya - Salahudin, Tuan Ibrahim dan Datuk Mahfuz Omar. Yang lainnya termasuklah ketua penerangan Idris Ahmad, AJK pusat Mazlan Aliman, exco kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Amar Abdullah dan bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, dan penyandang sekarang Mujahid Yusof Rawa.
Husam, Mohamad Sabu, Azizan dan Nasharuddin turut menerima pencalonan yang mencukupi untuk layak bertanding naib presiden.
Manakala 82 orang lagi layak untuk bertanding mengisi 18 kerusi jawatankuasa PAS pusat (AJK).
Abdul Halim berkata, pihaknya hanya akan memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima, kepada calon-calon yang layak.
Menurutnya, pihaknya akan memaklum kepada mereka melalui surat bermula hari ini sehingga 26 Jun ini.
Dan mereka perlu menjawab sama ada untuk menerima atau menolak pencalonan melalui surat, atau sms atau faks.
"(Hantar sesuatu) yang kita boleh pegang oleh jawatankuasa (pemilihan)," kata Abdul Halim yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa.