KUALA LUMPUR, [harakah]23 Mei: Kemunculan Malaysia sebagai negara yang menduduki tangga ke-10 peminum arak paling ramai di dunia, jelas meletakkan Malaysia sebagai negara lebih teruk dari negara-negara bukan umat Islam di seluruh dunia. Dengan kedudukan itu juga, jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno dalam mendidik rakyatnya tentang bahaya arak agar menjauhinya. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (gambar) berkata, kejadian itu turut menjadi satu tamparan hebat kepada umat Islam di negara ini, memandangkan negara ini adalah negara umat Islam dengan Islam sebagai agama rasminya. Menurut beliau, dalam masa yang sama, ia turut melibatkan maruah para mufti sendiri di tanah air kerana Malaysia turut memiliki mufti yang ramai yang berjumlah 14 orang di seluruh negara. Katanya, selain itu, ia turut memberikan tamparan hebat kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam yang berada di JPM yang walaupun tidak mempunyai kementerian khusus, tetapi berfungsi sebagai menteri yang bertanggungjawab penuh terhadap hal ehwal Islam di negara ini. "Memang amat mengaibkan. Dah lebih 50 tahun Kerajaan BN yang ditunjangi Umno memerintah negara ini, tetapi masih gagal mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi, hari ini. Akhbar milik MCA, The Star semalam menyiarkan statistik tahun ini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa Malaysia menduduki "ranking Top 10" peminum arak paling ramai di dunia. WHO turut menjelaskan, Malaysia membelanjakan US$500 juta (RM1.5 bilion) untuk alkohol dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter, manakala penggunaan beer di Malaysia pula mencecah 11 liter per kapita. Menurut Ustaz Taib, para pemimpin Umno sepatutnya berasa malu dengan statistik itu, memandangkan sebelum ini mereka begitu bangga apabila Amerika Syarikat mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam contoh. Antara pemimpin Umno yang jelas menyuarakan kebanggaannya dengan pengiktirafan Amerika itu termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri. "Jadi sekarang apakah sudahnya? Patutlah Amerika mahu Malaysia jadi negara Islam contoh. Tidakkah para pemimpin Umno malu dengan apa yang berlaku itu?" katanya sinis. Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, walaupun secara dasarnya statistik itu melibatkan orang bukan Islam, tetapi kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan BN tahu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat. "Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan BN tidak sepatutnya membiarkan rakyatnya begitu bebas dengan minuman arak, tetapi mestilah ada dasar tertentu yang perlu dilaksanakan bagi kawalan dan pemantauannya. "Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar-dasar tertentu ke arah mendidik rakyatnya agar faham dengan bahaya minuman keras. Tetapi tanggungjawab itu ternyata gagal dilaksanakan oleh Kerajaan BN," katanya. Beliau turut bimbang jika statistik itu juga turut membabitkan umat Islam sendiri, memandangkan di negara kita sememangnya terdapat anak pemimpin sendiri yang menjadi taukeh syarikat arak terbesar di Filipina, San Miguel, manakala bapanya pula asyik menghentam ulama kononnya dialah yang lebih pandai mengenai hukum-hakam. Lebih jauh dari itu, katanya, walaupun umat Islam sendiri tidak meminumnya, tetapi kegitan itu juga pasti turut melibatkan umat Islam kerana persoalan arak itu sendiri melibatkan 10 perkara atau 10 pihak. "Antaranya termasuklah pihak yang mengeluarkan lesen penjualan arak, orang yang menyediakan pembuatannya, orang yang menghidangnya dan orang yang mengangkutnya. "Walaupun saya hanya menyebut beberapa perkara dari 10 perkara itu, tetapi dari yang saya sebutkan itu, tidakkah ia juga turut terbabit dengan umat Islam?" tegasnya. Dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-10 peminum arak tertinggi di dunia, jelas beliau, ternyata menunjukkan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno tidak mengambil berat tentang perkara itu, walaupun ia akan mendatangkan kesan amat buruk kepada negara. "Arak adalah ibu maksiat. Jika ia tidak ditangani dengan baik, ia pasti akan mendatangkan masalah besar kepada peminumnya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, termasuk mempertingkatkan lagi kes-kes gejala sosial," katanya. Menurut beliau lagi, tokoh gerakan Islam, Al-Syahid Syed Qutb di dalam bukunya "Fi Zilli Quran" menjelaskan, kelebihan kepimpinan Islam antara lain akan menjaga dan mendokong kedaulatan agama, dakwah dan akhlak rakyatnya. "Dalam Umno BN ternyata tidak ada landasan itu. Ia amat berbeza dengan PAS. Inilah yang perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini dengan memberikan sokongan padu kepada PAS dan Pakatan Rakyat, bagi membolehkan negara muncul sebagai negara yang diberkati Allah," ujar beliau. |