16 Jun 2011



GEORGETOWN: Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri sekiranya masih bertegas melaksanakan kaedah pemilihan Anggota Pemilihan Masjid (AJK) Kariah mengikut sistem pilihan raya umum.

Yang Dipertua persatuan itu, Datuk Seri Mohd Yussoff Latiff berkata, persatuan itu berpendirian tegas tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil kerajaan negeri berikutan kaedah berkenaan tidak mengikut undang-undang yang sedia ada berikutan ia masih belum mendapat perkenan Yang Dipertua Agong.
"Persatuan mengambil pendirian memandangkan pilihan raya itu diadakan dalam keadaan tergesa-gesa di samping menggunakan sistem pemilihan yang agak longgar serta mengelirukan hingga dikhuatiri, akan mengundang perpecahan dalam kariah masjid berbanding tujuan asal perjuangan persatuan itu untuk penyatuan ummah.
"Malah jika belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia dianggap menyalahi undang-undang dan sekiranya dilaksanakan juga untuk menjaga rumah Allah, maka ia adalah satu dosa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Persatuan Kariah-Kariah Masjid negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Yussof berkata, proses tindakan mahkamah itu adalah tindakan terakhir yang akan diambil pihaknya dan isu terbabit perlu diselesaikan menerusi musyawarah.

Kerajaan DAP minggu lalu mengumumkan pemilihan jawatankuasa masjid di negeri itu diadakan secara pilihan raya mulai tahun ini bermula 18 Jun hingga 23 Julai yang membabitkan lebih 200 masjid menggantikan cara lama di seluruh Pulau Pinang. - BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment