KUALA LUMPUR, 2 Julai [
themalaysianinsider] Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengecam tindakan polis menahan aktivis Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan Umno-Barisan Nasional (BN) “tidak boleh diharap” untuk menjaga kepentingan rakyat.
Sebaliknya Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan ini menegaskan Umno-BN hanya tahu menjaga “tembolok” sendiri.
Nik Aziz
(gambar) juga menegaskan Umno-BN sudah tidak berupaya untuk menjaga kepentingan Islam dan amalan demokrasi negara.
“Membaca berita-berita politik tanah air, semakin ramai yang ditangkap kerana Himpunan Bersih 2.0.
“Hakikatnya pada hari ini Umno nak diharapkan menjaga Islam pun tak boleh, nak jaga demokrasi pun tak mampu, apa lagi yang diharapkan pada Umno? BN? Hanya jaga tembolok sahaja,” kata menerusi akaun Facebook beliau.
Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata seramai 115 aktivis Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan dengan 30 orang kini berada di bawah jagaan polis.
Khalid juga menegaskan pihaknya menutup segala bentuk rundingan dengan mana-mana penganjur perhimpunan tidak sah pada 9 Julai yang turut melibatkan Pemuda Umno dan Perkasa.
Beliau juga berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang terlibat dalam perhimpunan itu.
Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan diadakan pada 9 Julai ini di ibu negara menuntut lapan perkara yang harus dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan transformasi dalam sistem pilihan raya negara.