15 Julai 2011

Pakai baju kuning derhaka

KUALA LUMPUR 14 Julai [sumber]- Mereka yang memakai baju kuning pada setiap Sabtu sebagai menurut gesaan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga boleh dianggap penderhaka.
Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar berkata, ini kerana Yang di-Pertuan Agong dengan jelas menitahkan supaya rakyat negara ini tidak menyertai perhimpunan haram jalanan.
"Mereka ini derhaka pada raja, tindakan ini jika diturutkan akan mengakibatkan rakyat negara ini ingkar kepada pemerintah khususnya Yang di-Pertuan Agong.
"Perlakuan penderhaka ini akan menghancurkan kedaulatan institusi diraja. Pada bila-bila masa sahaja mereka ini boleh memecahbelahkan umat Islam, meleraikan bangsa dan menghancurkan negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden Gerakan Belia 4B, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, mereka yang turut serta dalam perhimpunan haram Bersih jelas ingkar kepada prinsip Rukun Negara.
"Terang-terangan mereka yang terlibat ini menderhaka titah Seri Paduka sedangkan rakyat Malaysia berikrar untuk taat setia kepada Raja dan Negara.
"Bukan sahaja ingkar, malah mereka yang terlibat telah mencetuskan satu momentum baru dalam menyemarakkan api perpecahan terutama dalam kalangan orang Melayu," katanya.

0 Comments:

Post a Comment