28 Julai 2011

KUALA LUMPUR 28 Julai - Petronas Carigali Sdn Bhd, cabang penggerudian dan pengeluaran Petroliam Nasional Bhd (Petronas), telah mencatatkan dua penemuan signifikan di dalam kawasan air cetek di luar pesisir pantai barat Sabah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, penemuan pertama dilakukan di telaga Zuhai East-1, yang terletak di Blok Samarang Asam Paya, kira-kira 130 kilometer di barat daya Kota Kinabalu.
"Anggaran semasa kandungan gas itu ialah 550 bilion kaki padu standard,” katanya.
Satu takungan yang sama di telaga berdekatan kira-kira 5 kilometer ke timur dari kawasan penemuan Zuhai East diuji mengandungi aliran gas pada kadar maksimum 21 juta kaki padu standard sehari, katanya.
Petronas Carigali adalah pemegang ekuiti tunggal kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok Samarang Asam Paya itu.
Katanya, penemuan kedua di telaga Menggatal-1 ditemui di Blok SB312, kira-kira 110 kilometer ke timur laut Kota Kinabalu.
"PSC Blok SB312 itu adalah usahasama antara Petronas Carigali yang memegang ekuiti 60 peratus dan KUFPEC Malaysia (SB 312) Ltd, iaitu satu anak syarikat Kuwait Foreign Petroleum Exploration Co, yang memegang baki kepentingan,” katanya. - Bernama

0 Comments:

Post a Comment