Sumber[
MK]Kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), kata
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)
Dalam satu kenyataan pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam juga mengulangi ingtakan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat pula terkandung dalam Perkara 19 UDHR.
Justeru, katanya Suhakam mengalu-alukan konsultasi di antara pihak berkuasa dan BERSIH 2.0 berhubung dengan cadangan perhimpunan, yang akan diadakan di sebuah stadium.
“Suruhanjaya berharap agar resolusi awal berkenaan perkara ini dapat dicapai antara pihak berkuasa dan BERSIH dalam semangat perdamaian, seperti yang dititahkan oleh baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong, dan akan memantau perhimpunan itu sewajarnya,” katanya.
Menurut Hasmy, Suhakam juga bimbangdengan penangkapan dan penahanan beberapa ahli parlimen serta aktivis baru-baru ini di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.
Sehubungan itu, katanya Suhakam menuntut kerajaan supaya segera membebaskan mereka yang masih ditahan itu.
“Mereka seharusnya berhak kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam seperti yang disebut dalam Perkara 9, 10 dan 11 UDHR yang menyatakan bahawa tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan secara sewenang-wenangnya; setiap orang adalah berhak dengan sama rata sepenuhnya kepada perbicaraan adil dan terbuka; dan setiap orang berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.
Hassmy juga mengingatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah menjadi tanggungjawab mereka menyokong standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak rakyat.
“Dalam perkara ini, Suruhanjaya telah berulangkali menyeru agar semua undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan dan mengulangi bahawasanya penahanan tanpa bicara adalah melanggar prinsip hak asasi manusia,” akhirnya.