Saya warga Kelantan yang kini sedang berada di perantauan dan sentiasa pulang ke Kelantan setiap kali tibanya musim cuti persekolahan. Dalam isu pelaksanaan Hudud di Malaysia hari ini dan di Kelantan secara khususnya, maka saya memilih untuk sependapat dengan Dr MAZA yang mengatakan : " Bahawa situasi di negara ini termasuk di Kelantan masih belum kondusif untuk melaksanakan hukum hudud "
saya berpandangan begini kerana :
1-Masih ramai orang UMNO totok di kelantan.
2-Surau dan Masjid di luar bandar di Kelantan masih lengang pada setiap kali tibanya waktu solat fardhu.
3-Kanak kanak dan remaja di Kelantan masih terlalu ramai yang dididik di sekolah Rendah dan Menengah Harian biasa.
4-Kelantan masih belum mampu menguasai media arus perdana bagi menerangkan kepada seluruh rakyat tentang apa yang hendak mereka lakukan.
5-Pelbagai hiburan yang melalaikan masih berleluasa di Kelantan.
Nik Aziz tolak pandangan Asri KOTA BHARU 21 Sept. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak pandangan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bahawa situasi di negara ini termasuk di Kelantan masih belum kondusif untuk melaksanakan hukum hudud.
Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Pas Kelantan sudah menyiapkan asas kukuh untuk pelaksanaan hukum hudud berlandaskan konsep ubudiyah (kepatuhan), itqan (tekun) dan masuliyah (bertanggungjawab) dalam pentadbirannya.
Beliau berkata, penerangan kepada masyarakat juga dibuat berterusan melalui kuliah agama terutama pada setiap hari Jumaat yang turut dikendalikannya dan mendakwa ia mendapat sambutan menggalakkan daripada umum.
Malah, beliau juga mendakwa pelaksanaan program kebajikan oleh kerajaan negeri setakat ini sudah mencukupi untuk menghalang niat sesetengah pihak melakukan perkara yang menjadi kesalahan dalam peruntukan hudud akibat desakan kewangan.
"Kami buat bermacam-macam projek, Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya.
"Ini semua persiapan untuk membolehkan rakyat berasa tidak perlu lagi mencuri, menipu dan merompak. Kalau merompak juga, itu jahat maknanya. Jadi asas yang kondusif ini sudah cukup kemas di Kelantan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Pas Kelantan di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pandangan Mohd. Asri semalam yang menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk pelaksanaan hudud dan perkara paling penting adalah mempromosikan perkara itu dengan cara yang positif terlebih dahulu.
Mohd. Asri berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Hudud: Suatu Perbincangan-Tanggapan, Suasana dan Keberkesanan pada Majlis Sambutan Hari Hududullah di Balai Islam Lundang di sini semalam.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, Kelantan juga sudah mempunyai kemudahan untuk tujuan itu, malah badan kehakiman syariah sedia ada sudah mempunyai kepakaran dan ilmu untuk melaksanakan hukum hudud.
"Pihak yang akan melaksanakan hukum ini bukannya orang politik, tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman, prosedur dan peraturan cukup lengkap. Mereka mempunyai ilmu dalam fikah yang cukup kemas, pandailah mereka melaksanakannya," katanya.
Ketika ditanya kedudukan parti lain dalam pihak pembangkang yang berkemungkinan besar tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud di negeri ini, beliau menjawap: "Itu kita kena tanya dia sebab apa tak setuju."
Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz dukacita dengan peristiwa pengeboman di Sungai Golok, Thailand baru-baru ini yang mengakibatkan kematian empat rakyat Malaysia termasuk dua mangsa dari Kelantan.
"Saya dukacita jugalah, kedai kopi di sini banyak, restoran banyak, kenapa hendak pergi juga ke sana," katanya.