19 September 2011

Husam saman Kickdefella RM5 juta

KOTA BHARU, 19 Sept[HD]: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memfailkan saman terhadap blogger Kickdefella sebanyak RM5 juta berhubung dakwaan fitnah ke atasnya.

Writ saman dan pernyataan tuntutannya ke atas Kickdefella atau nama sebenar Syed Azidi Syed Abdul Aziz difailkan di Kaunter Pendaftaran, Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu, petang ini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan diwakili Peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates.
Di dalam writ saman itu, Husam selaku plaintif menuntut Syed Azizi selaku defendan memohon maaf secara bertulis kepadanya  tanpa syarat.
Defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf di dalam laman blog defendan serta memadam ketiga-tiga artikel yang ditulis oleh defendan di dalam blog defendan iaitu yang bertajuk 'HUSAM TELAH MENIPU RAKYAT DAN SAHABAT’ pada hari Khamis 27 Januari 2011, artikel ‘SEBELUM KITA LUPA NORMALA SUDIRMAN’ yang diterbitkan pada hari Khamis 3 Februari 2011 dan artikel ‘HUSAM ITU PEMBOHONG’ pada hari Ahad 3 Julai 2011.
Husam juga menuntut Syed Azidi mengiklankan permohonan maaf tersebut di dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu selama satu (1) hari, bayaran gantirugi sebanyak RM5 juta kepada plaintif bagi gantirugi terhadap perbuatan fitnah yang telah disiarkan di ruangan blog defendan, gantirugi teladan, gantirugi melampau, gantirugi punitif.
Selain itu, satu injunksi bagi menghalang defendan dan/atau ejen-ejennya dan/atau pembantu-pembantunya dan/atau sesiapa sahaja dari berkomunikasi, memberi komen, mengulangi dan/atau menyebabkan menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan atau perkataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif, plaintif diberi kebebasan untuk memohon perintah-perintah lanjut, faedah pada kadar 8% setahun ke atas gantirugi yang dibenarkan oleh mahkamah dari tarikh writ saman hingga penyelesaian penuh, kos atas dasar peguamcara dan klien, kos untuk tuntutan ini; dan lain-lain relif yang mahkamah fikirkan wajar, adil dan suaimanfaat.

0 Comments:

Post a Comment