KUALA LUMPUR, 9 Sept[HD]: Walaupun penggunaan dakwat kekal akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen ia tidak ada makna jika ‘hantu’ masih ada jari.
“Ini kerana nama mereka ada di dalam daftar pemilih, walaupun mereka bukan penduduk tetap,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan.
Katanya, walaupun pendedahan dan bukti dibuat oleh PAS dan Pakatan Rakyat mengenai daftar pemilih namun sikap pekak badak yang ada kepada orang suruhan Umno di SPR masih tidak berubah.
“Mungkin inilah cara kerja jahat mereka untuk merampas Selangor dengan cara tidak demokratik,” ujarnya.
Menurutnya, pendedahan demi pendedahan seperti Mismah yang bertukar status dalam masa 2 jam kepada warganegara, nama Kg Baru telah menjadi pengundi berdaftar, kes nombor kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu, nama sama cuma nombor kad pengenalan 4 digit belakang berbeza, undi pos yang menjadi undi dipangkah oleh pihak lain dan yang terbaru penduduk sementara disahkan boleh mengundi iatu Numi bin Syukri (880306115096) mengundi di Hulu Besut, Parlimen Besut dan Hasmidah Binti Surahbil (820315126446) mengundi di Dun Semenyeh Parlimen Hulu Langat.
“Tidak ada makna kalau menggunakan dakwat kekal jika ‘hantu-hantu’ ini boleh mengundi kerana hantu moden ini ada jari dan kad pengenalan,” katanya lagi.
Oleh itu, katanya reformasi pilihan raya mesti dibuat secara menyeluruh.
“Ertinya tidak guna jika dakwat kekal digunakan sedangkan hantu-hantu ini boleh mengundi walaupun mereka bukan warga negara,” katanya.
Beliau menambah, jawapan daripada SPR untuk membodohkan rakyat apabila pendedahan itu dibuat, maka ia menyalahkan penolong pendaftar.
Ini, katanya seperti ada pasangan tentera didaftarkan sebagai pengundi pos menggunakan kad pengenalan pasangan mereka yang berkhidmat sebagai tentera seperti yang di dedahkan oleh Ketua Pemuda DAP Anthony Loke terdapat 21 pengudi pos yang dikesan.
“Kenapa Datuk Wan Ahmad hendak melepaskan diri? Kenapa SPR tidak menolak borang tersebut?” soalnya.
Beliau juga bertanya berapa ribu borang yang diisi oleh penolong pendaftar parti yang ditolak oleh SPR dengan alasan yang berbagai.
Ini, katanya satu lagi bukti memang Datuk Wan Ahmad adalah budak suruhan Umno.