16 September 2011

Sumber [MK]Syukur Alhamdulillah, setelah sekian lama PAS berjuang dan kini bersama Pakatan Rakyat, menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pemerintahan negara terutama tuntutan supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kini hampir menjadi kenyataan setelah ramai pimpinan PAS dan aktivisnya terpaksa merengkok dalam tahanan kejam tanpa bicara itu, semata-mata kerana persaingan politik yang tidak matang.



Saya tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah mengisytiharkan komitmennya untuk memansuhkan ISA sebentar tadi, biarpun Umno dan BN telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memahami betapa kejam dan zalimnya undang-undang ISA ini ke atas makhluk yang bergelar insan. Sementara PAS telah menentang ISA sejak hari pertama ia dibentang dan diluluskan di Parlimen justeru ia bertentangan dengan semangat keadilan yang dianjurkan oleh syariat Islam.

Sejurus mendengar pengisytiharan Datuk Seri Najib pada malam ini, hampir mengalir air mata saya mengenang penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh bekas tahanan ISA sebelum ini. Alangkah jika ISA dimansuhkan sejak komunis menyerah diri dan membubarkan parti serta perjuangan mereka tempoh silam. Pastinya mereka tidak perlu menderita dan sengsara hanya kerana dendam politik sang pemerintah.

Datuk Seri Najib mesti mengotakan komitmennya dengan membentangkan secara rasmi kertas pemansuhan ISA ini di dalam Parlimen yang akan bersidang awal bulan depan dan disokong pula oleh keseluruhan ahli parlimen Umno dan BN sekaligus mengusulkan penutupan Kem Kemunting dengan membawa semua tahanan yang masih ada ke muka pengadilan untuk diadili mengikut proses undang-undang negara.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan kerajaan Umno dan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga mestilah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan kepada semua mangsa-mangsa tahanan ISA dan keluarga mereka yang terpaksa mengalami penderitaan dan trauma yang teruk akibat akta draconian ini.

Alhamdulillah, Sekali lagi saya lafazkan rasa syukur kepada Allah swt. berikutan komitmen yang diberi oleh Perdana Menteri untuk turut mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Subjek yang diumum dan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri adalah merupakan jurus-jurus kecil dari pelan induk Reformasi yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat khasnya melalui Buku Jingganya sebelum ini. Demikian juga apa yang ditawarkan oleh PAS menerusi Dokumen Negara Berkebajikan.

Tidak mengapalah siapa pun yang melaksanakannya asal ia membawa kebaikan kepada rakyat. Namun Kerajaan Umno dan BN mesti sedar dan insaf, bahawa masih terlalu banyak perkara yang perlu direformasikan secara menyeluruh. Tidak memadai Perdana Menteri pancing sokongan pengundi dengan hanya membuat beberapa perubahan atau pindaan yang bersifat jurus-jurus kecil sedang masaalah pokok masih tergantung diawangan.

Masalah pokok yang saya maksudkan di sini ialah pemulihan sistem demokrasi yang adil dan ketelusan sistem pengurusan pilihan raya. Tiada erti perubahan itu dilakukan sedang hak pengundi untuk mengundi secara adil, telus dan saksama ternafi atau dinafikan dengan pincangnya sistem demokrasi dan selewengnya pengurusan pilihanraya.

Hari ini, negara masih berdepan dengan pelbagai bentuk kekeliruan dan keraguan yang timbul dari daftar pemilih, corak pengendalian pilihan raya, identiti pengundi, mykad palsu, pengundi klon dan undi pos sebagaimana yang didedahkan oleh DPP (Dewan Pemuda PAS) Malaysia, malah ianya masih gagal dijawab dengan jawapan yang meyakinkan oleh pengendali pilihanraya iaitu SPR mahupun kerajaan sendiri.

Ketelusan sistem pengurusan pilihan raya menjadi perkara terpenting setelah dilihat kepada usaha Perdana Menteri cuba melakukan perkara yang serupa dengan apa yang mahu dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Apabila dilihat program dan subjeknya serupa, maka rakyat perlu kepada keadilan dan ketelusan untuk memilih siapakah yang lebih layak untuk menjadi kerajaan atau pemimpin bagi melaksanakan program reformasi negara tersebut.

Apa yang pasti, kini Pakatan Rakyat telah dilihat mampu memimpin dan memerintah. Tiada siapa boleh menafikannya lagi setelah banyak idea dan program reformasi negara yang dicadang oleh Pakatan Rakyat kini dilaksanakan oleh kerajaan Umno dan BN.

Saya sendiri bertambah yakin. Bahawa Pakatan Rakyat mampu mengambil alih teraju kepimpinan negara, kerana rakyat kini beralih perhatian untuk memilih siapa yang paling layak memimpin dan memerintah setelah dilihat idea dan program perubahan hampir serupa dari kedua-dua parti iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Malah rakyat tahu siapa yang menggerakkan program dan idea perubahan tersebut.

Ertinya selepas ini nilai integriti, akhlak pemimpin, kecerdasan dan karisma kepimpinan akan menjadi nilai fokus pada pengundi untuk diberi mandat kepimpinan negara, kerana tiada erti diserahkan urusan pemerintahan kepada manusia yang rosak nilai integriti, rasuah dan tidak diyakini kewibawaannya. Justeru itu, berikan ruang secukup dan seadilnya untuk rakyat membuat pilihan tepat tanpa sebarang tekanan dan ugutan jua tanpa sebarang manipulasi.

Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya, pengumuman Perdana Menteri malam tadi adalah isyarat gendang tari pilihan raya telah dipalu. Pemuda PAS secara asasnya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya di adakan pada bila-bila masa secara spiritual, mental, material dan fizikal.

Pembentangan belanjawan pada bulan hadapan juga pastinya akan dijadikan belanjawan pilihan raya seperti lazimnya dan akan banyaklah tawaran - tawaran dikemukakan kepada rakyat terutama rakyat marhaen dan menengah.

Kini DPP Malaysia telah memasuki gear lima untuk terus meluncur dengan persiapan dan gerakkerjanya ke arah memenangi pilihan raya umum ke-13, insyaallah.


Nasrudin Hassan adalah ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment