Sumber [
MK]Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa mahu pihak Majlis Profesor Negara (MPN) melucutkan keanggotaan Profesor Zainal Kling bagi memelihara kredibiliti majlis ini kerana menimbulkan kekeliruan dengan mendakwa Malaya tidak pernah dijajah oleh British.
Mujahid (
kiri) berkata, kenyataan Zainal yang mewakili MPN itu telah menghina perjuangan bangsa yang selama ini menjadi sumber inspirasi generasi anak merdeka
“Oleh itu saya menuntut supaya pihak MPN melucutkan beliau dari terus menganggotai MPN bagi memelihara kredibiliti majlis ini dan menuntut supaya gelaran profesor (beliau) ditarik balik kerana menghina sejarah bangsanya sendiri dan penghayatan kemerdekaan yang baru sahaja kita sambut,” kata pemimpin PAS itu dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, PAS juga menuntut ahli akademik itu menarik balik kenyataannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah tetapi sebaliknya hanya dinaungi oleh British.
“Jika beliau tidak menarik balik, ini menandakan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang masih hidup dan yang mati selama ini telah ditipu dengan mempercayai bahawa kita telah dijajah sedangkan kita hanya dinaungi sahaja,” katanya.
Menurut Mujahid yang juga pengerusi Perpaduan Nasional PAS, kurikulum sejarah sekolah-sekolah sejak sekian lama memahamkan pelajar bahawa British adalah penjajah dan kita merdeka dari penjajah dengan laungan Merdeka!
“Ia tidak memerlukan seorang profesor untuk memahami bahawa 'Merdeka' membawa pengertian kebebasan dari sesuatu penjajahan dan bukan naungan.
Hina pejuang bangsa
Kenyataan beliau turut menghina pejuang bangsa selama ini kerana jikalau bukan penjajahan mengapakah adanya istilah ' pejuang kemerdekaan'? Mengapakah adanya semangat nasionalisma menentang penjajahan British?” soalnya.
Jumaat lalu, Zainal pada sidang akhbarnya di Putrajaya berkata berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
"Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," katanya.
Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.
Mujahid bagaimanapun menyangkal hujah itu dan berkata jika benar negara ini tidak dijajah mengapa kekayaan negara dan hasil bumi dieksploitasi untuk memberikan kekayaan kepada penjajah?
“Tidak cukupkah maruah bangsa diinjak apabila anak bangsa tidak ada suara dalam menentukan nasib bangsanya selama dijajah?
“Saya tidak tahu apa maksud Profesor ini apabila memutar belitkan istilah penjajah kepada penaung?
“Adakah beliau mahu mengatakan bahawa generasi anak merdeka telah ditipu oleh buku-buku sejarah atau tawarikh yang kita baca di bangku sekolah dan di universiti?” katanya ladi.
Sehubungan itu, kata Mujahiud, PAS mahu kerajaan, khususnya kementerian pelajaran supaya bertindak tegas terhadap Zainal yang menimbulkan kekeliruan yang amat berbahaya terhadap perjuangan bangsa yang terbina selama ini.
Mengapa Tunku laung 'Merdeka'
Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata rakyat kini musykil sekiranya benar negara ini tidak pernah dijajah, seperti dakwaan Zainal, kenapa perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka.
“Kenapa setiap tahun kita menyambut kemerdekaan (dan ada laungan merdeka)? Apakah penulisan sejarah perlu dibakar kerana telah tipu pelajar-pelajar sekolah?” soalnya dalam satu kenyataan akhbar.
Menurut Idris (
kiri), hakikat sekarang, terbukti siapa yang cuba membohongi sejarah dan kenyataan kumpulan itu sememangnya memalukan ahli akademik yang jujur.
Justeru, katanya ahli akademik perlu bangkit memperbetulkan kenyataan itu.
“Biarkan Majlis Profesor Umno dengan khayalan mereka semata-mata untuk mendapat sanjungan Umno. Kenyataan mereka juga akan menjadi sejarah hitam dalam negara ini,” katanya.
Menurut Idris, kini terserlah bahawa Umno bukan pelopor memperjuangkan kemerdekaan negara.
Sebaliknya, selama ini Umno menipu rakyat termasuk ahli-ahli Umno sendiri bahawa parti itu yang memperjuangkan kemerdekaan.