23 Oktober 2011


JAKARTA 22 Okt. - Kekerapan aktiviti gunung berapi Anak Krakatau semakin aktif sejak kebelakangan ini dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan ia akan meletus dengan lebih besar berbanding kejadian pada 2007.
Menurut laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa, kemungkinan itu berdasarkan kepada kekerapan gempa dan pelepasan gas belerang di gunung itu.
Namun, letusan Anak Krakatau kali ini dijangka tidak sekuat yang pernah berlaku pada tahun 1883 yang sekali gus memusnahkan gunung Krakatau.
Ketua Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Surono berkata, aktiviti Anak Krakatau sejak kebelakangan ini berlaku sangat kerap dengan catatan lima kali gempa setiap minit.

Jelasnya, aktiviti gempa di gunung berkenaan berlaku sehingga 5,000 kali dalam sehari dan ia memberi petanda kemungkinan letusan besar akan berlaku.
‘‘Apa yang menghairankan ialah kejadian gempa sehingga ribuan kali di Anak Krakatau itu merupakan fenomena baru.
‘‘Berbanding dengan gunung berapi lain dengan status amarannya di peringkat berjaga-jaga, ia sekadar mencatat puluhan hingga ratusan gempa dalam sehari,’’ katanya seperti dipetik akhbar Kompas hari ini.
Kata Surono, berikutan pelepasan gas belerang pada Anak Krakatau, ia menyebabkan gunung berapi berkenaan diliputi lapisan belerang putih kekuningan.
“Ia merupakan suatu fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Surono meminta masyarakat setempat supaya tidak cemas dengan perkembangan terbaru Anak Krakatau kerana magmanya itu bersifat cair dan kurang gas.
‘‘Ia tidak seperti sifat magma kental pada gunung berapi Krakatau yang meletus pada 1883,’’ tegasnya.
Sementara itu, pihak pemerintah Indonesia mengeluarkan amaran berjaga-jaga dan menasihatkan masyarakat menjauhi Anak Krakatau dengan menetapkan zon bahaya pada jarak 2 kilometer dari kawahnya.
Letusan Krakatau pada 1883 telah mengorbankan 36,000
orang akibat terkena abu panas serta bencana tsunami yang melanda wilayah Lampung dan Banten. - mINGGUAN

0 Comments:

Post a Comment