FRANKFURT 16 Okt. – Beribu-ribu penunjuk perasaan berdemonstrasi di luar ibu pejabat Bank Utama Eropah di sini, pada hari pertama protes menentang ketidaksamaan ekonomi dan ketamakan kapitalisme di seluruh dunia, semalam.
Pihak penganjur menganggarkan kehadiran hampir 6,000 orang, manakala polis mendakwa 5,000 orang yang berkumpul di dataran dengan membawa logo gergasi mata wang euro berwarna biru kuning.
Sebelum itu, demonstrasi secara aman dan terkawal turut diadakan di London, Hong Kong, Jepun dan Australia dengan ribuan penunjuk perasaan membawa sepanduk yang ditulis dengan ayat menentang sistem kapitalis.
Sementara itu di Rome, polis anti rusuhan melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap beratus-ratus penunjuk perasaan anti kapitalis di sini, manakala sekumpulan aktivis bertindak liar membakar ruang tambahan Kementerian Pertahanan berdekatan ibu negara Itali. – AFP