29 Oktober 2011

KUALA LUMPUR, 29 Okt[TMI] — Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa diskusi meja bulat Ahad ini, anjuran Persatuan Kesedaran Komuniti, tidak membincangkan undang-undang keluarga dan kesamaan jantina termasuk hak bagi lesbian dan dwiseks atas alasan ia tidak sesuai dengan nilai agama negara ini. Perbincangan meja bulat itu, yang diadakan dengan kerjasama Suhakam, akan membincangkan dua kertas kerja mengenai hak asasi lesbian dan wanita dwiseks dan undang-undang keluarga. Ia bertujuan mempromosikan dan memantau kesamaan jantina sama ada ia selari dengan rangka kerja hak asasi yang diketengahkan oleh Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) yang telah diratifikasikan oleh Malaysia pada 1995.

Setiausaha Agung Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menolak dengan keras jika ada pihak yang cuba membawa pemikiran dan nilai hidup sekular-liberal yang bertentangan dengan budaya Islam dan kebudayaan nasional yang menjadi teras kepada amalan hidup rakyat di Malaysia.
“Kami tidak minta diskusi ini dibatalkan tetapi tidak membincangkan kedua-dua isu undang-undang keluarga dan kesamaan jantina bagi lesbian dan biseks dibincangkan secara terbuka. Ia tidak harus dibincangkan secara terbuka sehingga menimbulkan polemik,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.
Dalam kenyataan berasingan dikeluarkan, Azmi berkata, pihaknya menolak percubaan kelompok sekular Barat dan golongan liberal yang ghairah untuk menjadi hamba kepada agenda asing dan ingin menjadikan masyarakat di negara seperti Malaysia sama dengan budaya hidup Barat.
“Diskusi seperti ini mempunyai niat tersirat untuk menggerakkan kempen dan advokasi yang berterusan untuk merubah nilai dan landasan akhlak Islam yang menjadi teras kepada kehidupan masyarakat Melayu-Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” kata pengerusi bersama Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan Sabtu lalu.
Kertas kerja bertajuk “Cedaw in Defending the Human Rights of Lesbians, Bisexual Women and Transgenders in Malaysia” akan dibentangkan Angela Kuga Thas manakala “A Cedaw Approach to Family Law in Advancing Equality and Non Discrimination” oleh Lalitha Menon.
Maklumat diperoleh daripada nota media penganjur menyebut diskusi meja bulat itu akan dijadikan pelan tindakan yang akan menjadi katalis dalam merangka rangka kerja bagi kesaksamaan jantina. Empat bidang akan diberi tumpuan oleh diskusi iaitu keganasan dihadapi wanita dalam bidang tenaga kerja, pelarian wanita dan bukan warganegara, orientasi seksual dan identiti jantina dan undang-undang keluarga di Malaysia.
Azmi yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu berkata, aliran pemikiran liberal dan sekular yang menjadi kerangka pemikiran mereka bertujuan untuk membentuk kefahaman masyarakat supaya ikatan hukum agama dirongkai dan agama hanya menjadi budaya ritual di peringkat peribadi semata-mata.
Kata beliau, Mapim mengambil serius terhadap usaha kelompok terbabit yang mahu mengenengahkan hak lesbian dan wanita yang mengamalkan biseksual sebagai hak manusia di negara ini.
“Ini akan pasti mewujudkan kontroversi yang sepatutnya tidak timbul di negara ini kerana budaya dan gaya hidup Barat dalam hal hak lesbian dan gay adalah ditolak di negara ini,” kata beliau.
Oleh itu jelas beliau, perbincangan yang mengarahkan kepada menjadikan amalan hidup lesbian dan gay sebagai hak manusia dan gaya hidup yang seharusnya diterima dan yang perlu diperjuangkan di Malaysia, tidak harus diketengahkan.
“Mapim membantah isu ini cuba dibawa ke perbincangan arus perdana dalam masyarakat di negara ini.
“Budaya hidup yang bertentangan dengan Islam dan budaya timur tidak harus dijadikan topik untuk diperbahaskan kerana masyarakat Malaysia sudah terbentuk dengan nilai agama yang perlu dihormati,” kata beliau lagi.
Azmi menambah Mapim kesal jika ada usaha untuk mencabar undang-undang keluarga Islam yang cuba dikritik berdasarkan hak manusia dan hak gender seperti yang diketengahkan oleh budaya dan nilai Barat.
“Usha untuk terus mempersoalkan undang-undang keluarga Islam dalam Enakmen Keluarga Islam yang wujud di negara ini akan membawa kepada implikasi besar iaitu mendesak supaya undang-undang Islam dirombak untuk disesuaikan dengan nilai dan budaya hidup sekular-liberal Barat atas nama hak wanita dan hak asasi manusia.
“Mapim mendesak supaya pihak berkuasa memantau segala kegiatan yang cuba melakukan kempen secara terselindung untuk melakukan suatu rombakan kepada undang-undang Islam di negara ini,” katanya lagi.
Azmi menambah negara ini tidak boleh disamakan dengan nilai dan budaya hidup  yang diamal di Barat dan  agenda untuk mempersoal undang-undang Islam hendaklah disekat tanpa kompromi.
“Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan hendaklah menjadi dasar yang dikuatkuasakan dalam apa sahaja bentuk pemikiran yang hendak diketengahkan kepada masyarakat,” katanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment