13 Oktober 2011

PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di empat negeri berkemungkinan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan itu berkemungkinan merupakan strategi PR untuk menumpukan kekuatan dan meraih sokongan rakyat di negeri-negeri pemerintahan Barisan Nasional (BN).

PR memerintah pentadbiran kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.


"Dengan ini, mereka (PR) dalam tangan ada empat buah negeri. Mereka tumpu di negeri-negeri lain untuk menambah kekuatan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur Larian Sahara di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Rabu.

"Bagi pilihan raya di peringkat DUN, ia bergantung kepada kerajaan negeri sama ada bubar atau tidak dewannya. Kalau keempat-empat DUN di bawah pemerintahan PR tidak dibubar, kita akan lihat pilihan raya terhad kepada negeri-negeri yang diperintah BN," katanya.

"Namun begitu, sekiranya pilihan raya umum diadakan dekat dengan tamat tempoh penggal lima tahun, nak tak nak, dia (PR) kena buat (membubarkan DUN) juga," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan BN tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan PRU ke-13 kerana tempoh penggal hanya berakhir pada Mac 2013.

Katanya kerajaan BN perlu membuat ujian dan kaji selidiki untuk mengetahui pandangan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan dan rakyat akan menunggu dengan apa yang dijanjikan oleh kerajaan.

"Jangan-jangan yang dijanji tidak ditunaikan. Kalau cakap tidak serupa bikin, susah. Jadi, cakap seperti apa yang akan dibikinkan," katanya.

Mengenai Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, Jumaat lalu, katanya kerajaan BN harus memastikan semua projek dilaksanakan dengan jayanya kerana rakyat akan menilai hasil dan usaha kerajaan.

Dalam pada itu, bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Suwaibah Muhammad Nasir, 37, berhasrat merentasi Gurun Sahara dengan berlari sejauh 1,112 kilometer dari Aswan ke Port Said, Mesir selama 35 hari bermula 1 Feb depan.

Beliau mahu mancatat rekod dunia sebagai wanita pertama berbuat demikian dalam misi yang dinamakan sebagai 'Sailing the Sand of Sahara'.

0 Comments:

Post a Comment