NEW DELHI 30 Sept. - Perdana Menteri India, Manmohan Singh tidak pernah mengambil cuti sejak mula bertugas sebagai pemimpin negara pada 2004.
Menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal hal ehwal semasa
The Caravan, pemimpin berusia 79 tahun itu sentiasa mengelak untuk mengambil cuti.
Bekas penasihat media, Sanjaya Baru berkata, pemimpin India tersebut yang pernah bertugas sebagai profesor ekonomi tidak berminat untuk bercuti malah memendekkan masa cutinya ke pusat pelancongan terkenal, Goa.
"Saya pernah menyuruhnya (Singh) pergi bercuti namun beliau menolak dengan alasan tiada apa yang boleh dilakukan di sana (Goa)," katanya.
Anak perempuan pemimpin itu, Daman Singh berkata, bapanya hanya pernah bercuti bersama keluarga sekali sahaja dalam tempoh 40 tahun iaitu melawat sebuah stesen bukit di Nainital.
Jurnal tersebut turut mendedahkan pemimpin itu tidak berminat menggunakan barangan mewah seperti kereta dan makan di restoran mahal.
Keterampilan Singh kepada pengundi sebagai seorang pemimpin yang berkebolehan dan jujur dalam politik India mengalami tekanan tahun lalu ekoran beberapa skandal rasuah yang besar.
Walauoun beliau tidak secara peribadi dikaitkan dalam kes-kes tersebut, Singh dituduh oleh pengkritik sebagai gagal mengelakkan penipuan 2G yang mana lesen telefon bergerak dijual pada harga sangat rendah pada 2008. - AFP