17 November 2011

KUALA LUMPUR, 17 Nov:[HD] Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan Felda juga akan membeli kondominium sebagai pelaburan yang menguntungkan.
"Felda kini berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang sebelum ini membela projek lembu di bawah NFC (Perbadanan Fidlot Nasional) tentu kagum dan tertarik dengan kaedah perniagaan NFC yang membeli kondominium untuk pelaburan.
"Sebab itulah tidak boleh ditolak kemungkinan Felda juga akan membeli banyak kondominium sebagai pelaburan," katanya.

Mahfuz percaya, jika Najib tidak kagum dan tidak tertarik dengan kaedah perniagaan NFC, tentulah beliau tidak akan membela projek penuh kontroversi itu dan membuat kenyataan bercanggah dengan laporan Ketua Audit Negara.
Ketika membela NFC, Perdana Menteri menafikan wujudnya penyalahgunaan dalam pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta untuk projek lembu itu.
Ia bertentangan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menggambarkan projek penuh kontroversi itu berada dalam keadaan "kacau-bilau".
Projek tersebut dianugerahkan kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa, tindakan NFC membeli unit apartmen mewah One Menerung di Bangsar, dilaporkan dengan bayaran sebanyak RM9.8 juta, dengan tujuan untuk mendapatkan pulangan pelaburan.
"Selepas ini mudahlah bagi semua perbadanan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah kerajaan Najib. Beli kondominium banyak-banyak untuk mendapatkan pulangan pelaburan.
"Felda, Bernas (Padiberas Nasional Berhad), Fama ( Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), apa sahaja perbadanan dan GLC boleh mencontohi kebijaksanaan perniagaan NFC yang nampaknya dikagumi Perdana Menteri.
"Suami Shahrizat boleh kata 'tiru macam saya', beli kondominium banyak-banyak untuk mendapatkan pulangan pelaburan," sindir Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Selepas ini, kata Mahfuz lagi, semua agensi, perbadanan dan GLC di bawah kerajaan Najib mungkin terpaksa berebut-rebut mendaftarkan nama untuk menimba ilmu pelaburan dari keluarga Shahrizat.
"Keluarga Shahrizat juga boleh buat duit banyak-banyak lagi selepas ini dengan bisnes baru iaitu memberikan kursus pelaburan kepada semua agensi, perbadanan dan GLC di bawah kerajaan Najib di seluruh negara.
"Kursus beli kondominium mewah untuk mendapatkan pulangan pelaburan," sindir beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli menyifatkan tindakan NFC membeli kondominium berharga hampir RM10 juta seunit adalah perbelanjaan tidak berhemah khususnya ketika pasaran hartanah mewah yang mengalami trend penurunan.
"Pasaran hartanah mewah, terutamanya bagi kondominium mewah seperti yang dibeli oleh NFC, dijangka akan mengalami penurunan harga dari tahun 2010 dan tahun-tahun akan datang.
"Ini satu keputusan yang gila. Saya tidak mempunyai kata-kata (untuk menghuraikannya) - jarang dibuat, tidak pernah didengari, malah pelik untuk melabur dalam kondominium mewah sebagai pelaburan jangka pendek terutamanya ketika pasaran yang lembab," kata beliau.

0 Comments:

Post a Comment