KUALA LUMPUR [
Sumber]– Golongan yang suka menghabiskan masa seorang diri tanpa menghiraukan kewujudan ahli keluarga dan sahabat handai berisiko tinggi untuk mendapat penyakit mental.
Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Mohd. Zain menjelaskan, disebabkan sikap gemar menyendiri itu, masa yang sepatutnya dihabiskan bersama rakan atau keluarga dibazirkan dengan perbuatan yang tidak berfaedah seperti melayari Internet atau bermain permainan video.
“Pada saat golongan ini berada dalam kesusahan, mereka akan berhadapan dengan kesukaran kerana tidak tahu bagaimana untuk meminta tolong kerana kurangnya kemahiran berinteraksi.
“Masalah yang tidak berjaya diselesaikan itu seterusnya akan dipendam, menyebabkan mereka murung dan seterusnya menjadi pesakit mental,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa pesakit mental di negara ini akan meningkat sebanyak 16 peratus menjelang 2020.