Sumber [
MK] Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa menjangkakan negeri itu akan mendapat tuntutan royalti minyak, paling lewat enam tahun lagi.
Andaiannya itu, berdasarkan kepada perlantikan Sultan Kelantan, Muhammad ke-V yang dilantik sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada pertengahan Oktober lalu.
“Iya, kenapa saya berkata demikian? Alhamdulillah, saya mengucap syukur kerana Sultan Muhammad ke-V diterima sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Dan insya Allah dipanjangkan usia, tidak ada apa-apa melintang baginda akan menjadi Yang di-Pertuan Agong, insya Allah. Justeru, pada waktu itu, tentulah baginda akan menyebelahi tuntutan rakyat Kelantan,” kata Husam dipetik
Harakahdaily di Kota Bharu semalam.
Pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.
Bagaimanapun menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Kelantan tidak layak menerima royalti untuk minyak yang digali di kawasan persisirannya namun, sebaliknya bersetuju memberikan wang ehsan RM20 juta sebagai ganti.
Tawaran itu ditolak oleh kerajaan negeri yang mengemukakan pelbagai bukti untuk menyokong hujah bahawa rakyat Kelantan berhak mendapatkan royalti sehingga RM2 bilion.
Wang ehsan berkenaan kemudiannya disalurkan kepada Umno Kelantan untuk diagihkan kepada rakyat di negeri itu.
Kes tuntutan royalti minyak oleh Kelantan ini akan kembali didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Disember nanti.