PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syarikat yang diterajui anggota keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu tampil memberi penjelasan berhubung isu membabitkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Timbalan Perdana Menteri berkata penjelasan itu perlu kerana pada masa ini, banyak perkara dan maklumat berkaitan NFC telah didedahkan dan ia menimbulkan persoalan kepada rakyat.
"Sekarang ini telah dijelaskan oleh kerajaan...mungkin satu peringkat, itu terserah kepada pihak yang terlibat untuk memberi penjelasan supaya kedudukannya lebih jelas difahami oleh masyarakat (umpamanya) bagaimana isu itu timbul, bagaimana nak tangani, bagaimana soal situasi industri ternakan dan respon kepada Laporan Ketua Audit Negara...itu terserah kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas diminta mengulas mengenai gesaan Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, supaya Shahrizat meletak jawatan berikutan pembabitan ahli keluarganya dalam isu NFC.
Muhyiddin berkata isu NFC itu telah dijelaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar minggu lepas dan perkara itu sepatutnya diterima baik oleh pihak-pihak berkaitan.
Ditanya mengenai gesaan Bung Moktar supaya Shahrizat meletakkan jawatan atau memberikan penjelasan mengenai isu tersebut, Timbalan Perdana Menteri berkata : "Seruan Bung itu saya fikir tak perlulah sangat. Soal-soal sebegini khusus di kalangan kita sama kita (anggota Barisan Nasional) kerana ia tidak secara langsung menyatakan Shahrizat terlibat.
"Sebenarnya, ini soal operasi perniagaan yang diuruskan oleh keluarga tetapi Shahrizat sendiri tidak terlibat," katanya.
Di KUALA LUMPUR, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan agar Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami Shahrizat, memberi penjelasan kepada Anggota Parlimen mengenai isu itu.
"Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail perlu beri taklimat, penerangan dan menjawab mengenai isu-isu yang timbul serta tuduhan yang dilemparkan kepada mereka, (umpamanya) berapa banyak duit, ke mana duit itu dibelanjakan...Itu yang diperlu ditanya terus kepada mereka yang terlibat," katanya pada pemberita selepas merasmikan seminar "Sains dan Nilai : Isu-isu Kontemporari dan Jalan Penyelesaian" di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Ketika diminta mengulas isu pembelian kondominium mewah menggunakan wang NFC, Abdullah berkata itu antara soalan baik yang perlu ditanya sendiri kepada Mohamad Salleh.
NFC yang dilantik kerajaan sebagai integrator projek ternakan lembu kebangsaan dengan modal dana berjumlah RM250 juta, didakwa menggunakan dana itu untuk membeli kondominium bernilai RM9.8 juta di Bangsar
Mengenai desakan agar Shahrizat meletak jawatan, Abdullah berkata itu tidak wajar.
"Apa kena mengena Shahrizat dalam isu ini? Ini soal suami dia. Kalau Sharizat yang jadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, bolehlah tanya tetapi jelas dia tidak terlibat. Tidak adillah melibatkan beliau," katanya.