KUALA LUMPUR, 24 Nov[
TMI] — Pemuda PAS mempersoalkan peruntukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang melarang perhimpunan diadakan di pekarangan rumah ibadat khususnya masjid berbanding amalan selama ini.
Ketuanya Nasrudin Hasan (
gambar) berkata, selama ini isu-isu melibatkan Islam, perhimpunan atau protes diadakan di kawasan masjid.
“Sebagai contoh, jika timbul isu yang melibatkan kepentingan agama Islam seperti penghinaan terhadap agama, isu akidah dan seumpamanya, sudah tentu bermula dari mimbar khutbah sehinggalah pekarangan masjid menjadi lokasi himpunan yang paling starategik dan berkesan, justeru tujuan himpunan aman dianjurkan adalah untuk memberi maklumat, mencetuskan kesedaran, menyatukan suara dan tindakan.
“Demikian juga himpunan aman yang memerlukan perarakan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain untuk menarik perhatian umum terhadap mesej yang dibawa oleh penganjur jelas memerlukan jalan raya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Rang Undang-undang Perhimpunan Aman akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua hari ini dan dibahaskan.
Katanya, ada isu yang berlaku terkadang perlu ditangani segera dan oleh itu, apa rasionalnya apabila terpaksa menunggu 30 hari selepas notis, barulah himpunan aman itu boleh dilangsungkan kerana disyaratkan notis himpunan tersebut mestilah 30 hari sebelum. “Peraturan ini tidak menepati aspirasi penganjuran himpunan aman.
“Kita bukan berhimpun untuk konsert hiburan yang membolehkan kita bersiap awal. Penganjuran konsert, usahkan 30 hari, tiga bulan sebelum pun tidak mengapa,” kata beliau lagi.
Sebaliknya menurut beliau, ini adalah himpunan aman yang banyak keadaannya bersifat respons balas terhadap sesuatu isu semasa yang timbul dan perlu tindakan pantas.
“Contoh mudah, hari ini orang hina agama anda, apakah anda perlu menunggu 30 hari untuk menyatakan bantahan terhadap penghinaan tersebut?
“Jika sifat himpunan itu aman, maka apa yang diperlukan ialah kawalan keselamatan oleh pihak polis pada hari peristiwa atau himpunan itu dianjurkan tanpa perlu pihak polis melancarkan sebarang provokasi seperti menggunakan gas pemedih mata dan ‘water cannon’,” tambah Nasrudin dengan merujuk kepada hhimpunan aman Citra Warna, perarakan Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan atau sambutan Hari Kemerdekaan negara serta lainnya.
“Semua himpunan besar itu memerlukan lokasi seperti pekarangan masjid dan jalan raya.
“Saya melihat, di sebalik tabir slogan transformasi yang diledakkan oleh Umno dan BN, mereka secara strategik sedang merangka satu tindakan untuk lebih mencengkam kuasa ke atas rakyat sekali gus membohongi rakyat dengan pelbagai komitmen kononnya ke arah perubahan tetapi perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan yang lebih mengukuhkan cengkaman, menyempitkan ruang demokrasi, mengeraskan hukuman ke atas rakyat,” kata beliau lagi.
Bagaimanapun Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman menyatakan pendirian menyokong undang-undang tersebut kerana menurutnya ia masih lagi mempunyai semangat demokrasi dan memberi lebih kebebasan kepada masyarakat untuk berkumpul.
Bagaimanapun, Abdullah Zaik berkata terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh pihaknya seperti meletakkan kuasa pasukan sebagai kuasa tertinggi dan juga denda RM20,000 ke atas mereka yang sabit kesalahan.
“Undang-undang ini masih lagi memperuntukan polis berkuasa penuh kerana sekiranya mereka membantah perhimpunan tersebut, penganjur tidak akan mampu berbuat apa-apa, sepatutnya bantahan dibuat oleh pihak lain, bukan anggota polis, polis sepatutnya menjadi pemudah cara bagi penganjur untuk melaksanakan demonstrasi atau perhimpunan tersebut,” katanya lagi.
Tambah beliau, meletakkan kawasan masjid dan rumah ibadat sebagai kawasan larangan untuk melakukan demonstrasi amat disokong kerana itu dapat memelihara kesucian tempat untuk beribadat.