05 November 2011

KUALA LUMPUR, 5 Nov[TMI] — Pertubuhan bukan kerajaan PAGE mungki meneruskan usahanya mendesak kerajaan agar mengekalkan penggunaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah meskipun amat menghargai langkah terbaru Putrajaya membenarkan pelajar semasa menghabiskan persekolahan hingga peringkat Tingkatan Lima di bawah dasar itu.
Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim memberitahu The Malaysian Insider, beliau agar terkejut dengan pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin semalam, tetapi mengakui keputusan itu tidak memenuhi keseluruhan tuntutan mereka. “Kami dalam situasi yang sukar sekarang. Kami sangat menghargai apa yang telah dipersetujui kerajaan dan kami dengan ikhlas mengucapkan terima kasih.
“Tetapi pada masa yang sama, kami mahu yang dasar ini (PPSMI) dilaksanakan menjangkaui 2020, sehingga kita semua meninggal dunia dan sudah tiada. Kami mahu peluang ini diberikan kepada semua,” katanya.
Minggu lalu, PAGE memberi amaran Barisan Nasional (BN) akan kehilangan undi dalam pilihan raya umum ke-13 jika tidak mendengar suara dibawa oleh pihaknya.
Semalam, kerajaan mengumumkan bahawa ia telah bersetuju membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa itu apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.
“Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.
“Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak,” katanya.
Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.
Muhyiddin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Noor Azimah juga melahirkan rasa terkejut sambil mempersoalkan perubahan pendirian kerajaan yang secara tidak disangka-sangka mengumumkan keputusan itu.
“Kami sangat terkejut. Kemungkinan disebabkan PAGE telah melobi dengan kuat selama ini ataupun kemungkinan disebabkan (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad (yang turut) menyertai usaha ini,” katanya.
Dr Mahathir, yang memperkenalkan PPSMI pada 2003, dalam pendirian terbaru semalam turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan kuasanya mengubah keputusan Muhyiddin yang memansuhkan PPSMI pada 2009.
Malah, Dr Mahathir juga meminta agar kerajaan mengadakan satu referendum bagi mendapatkan pendirian rakyat dalam hal ini.

0 Comments:

Post a Comment