KUALA LUMPUR, 14 Nov[
TMI] — Dewan Pemuda PAS hari ini menggesa Kementerian Pelajaran membatalkan keputusannya mahu mengadakan projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan ia tidak wajar dan tidak realistik untuk dilaksanakan.
Justeru, Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, pihaknya bersetuju dengan gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar kerajaan membatalkan sahaja projek perintis guru kerana kajian itu, yang akan dilaksanakan mulai Januari depan adalah satu tindakan membazir.
“Dewan Pemuda PAS menegaskan, para guru bukanlah tikus makmal yang boleh dijadikan bahan uji kaji terhadap keberkesanan sesuatu teori.
“Sebaliknya, Dewan Pemuda PAS melihat para guru adalah mereka yang sentiasa bereksperimen dengan kehidupan realiti dan bergelumang dengan dunia pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, NUTP menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu satu tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada kalangan tenaga pendidik.
Selain itu, NUTP juga mendakwa dasar baru tersebut tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan kebanyakan sekolah kurang kemudahan selesa dan kondusif bagi guru.
Projek perintis itu akan dilaksanakan di empat negeri melibatkan sekitar 5,000 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan mulai 1 Januari depan.
Presiden NUTP Hashim Adnan berkata, pihaknya pasti bahawa kajian perintis itu tidak akan membawa hasil positif jika mengambil kira kemudahan semasa di kebanyakan dan beban kerja setiap guru buat masa sekarang.
Di bawah dasar baru ini, guru sebelah pagi dikehendaki berada di sekolah dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang manakala guru sebelah petang pula dikehendaki masuk sekolah 9.30 pagi dan bertugas sehngga 6.30 petang.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong menasihatkan para guru agar tidak “panic” dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.
Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari 2012 di empat negeri — Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor — berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.
Laporan media menyebut kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari 2012.
Sehubungan itu soal Riduan, oleh kerana banyak perkara berlaku dalam alam perguruan di luar daripada silibus pembelajaran mereka, justeru “mengapa mereka perlu dibebankan dengan kajian perintis seperti ini?”
Malah menurut Riduan, pihaknya juga mengajak kerajaan memerhati suasana pengajaran dan pembelajaran para guru terutamanya di sekolah luar bandar.
“Banyak perkara yang memerlukan inisiatif sendiri para guru, termasuk mengeluarkan duit kocek mereka bagi memastikan sistem pengajaran mereka di sekolah berkesan serta bagi memastikan para pelajar mendapat pengajaran yang terbaik.
“Selain itu, para guru juga terpaksa mengikut jadual waktu para murid seperti hadir ke program kokurikulum, sukan tahunan, pelbagai aktiviti riadah dan di luar darjah, lawatan sambil belajar di samping kursus-kursus wajib yang mereka sendiri terpaksa hadiri,” katanya lagi.
Dalam keadaan para guru sudah sedia terbeban dengan pelbagai tugasan yang di luar tanggungjawab utama mereka, soal beliau lagi, “apakah kerajaan mahu menambah beban untuk mereka pikul?”
Katanya, bagaimana kerajaan boleh melahirkan murid yang cemerlang jika guru yang mengajar pelajar sering letih, lesu dan hilang semangat kerana perlu memenuhi masa bekerja seperti tenaga profesional yang lain.
Tambah Riduan, tindakan Kementerian Pelajaran menunjukkan kerajaan sememangnya tidak peka terhadap permasalahan yang dihadapi oleh para pendidik.
“Dewan Pemuda PAS syorkan agar kerajaan menilai kembali keputusan kajian ini dengan mengusahakan insentif kepada para guru sepertimana janji Pakatan Rakyat untuk memberi elaun tambahan sebanyak RM500 sebulan.
“Tindakan ini lebih realistik bagi memastikan guru mampu mengajar dengan penuh cemerlang serta mampu melahirkan generasi pelajar yang terus cemerlang dalam akademik,” ujar Riduan.