KOTA BHARU - Seorang remaja maut apabila kereta yang dinaiki bersama rakannya terbabas dan merempuh sebuah kedai membuat dan menjual batu nisan di Kampung Chicha di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, Abdul Hanif Ab. Hamid , 18, maut di tempat kejadian manakala Mohd. Riduan Ar Azmi, 22, yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback hanya cedera ringan.
Menurut Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar, kereta tersebut yang datang dari Pasir Tumboh ke Kubang Kerian terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tiang elektrik sebelum merempuh kedai.
"Kereta tersebut dipercayai dipandu laju dan ketika kejadian, tiada sesiapa di dalam kedai berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, mayat Abdul Hanif dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat.
Sementara itu, ibu arwah, Fauziah Pak Muda, 57, memberitahu, anaknya keluar dari rumah di Beris Kubu Besar, Bachok pada pukul 10 malam.
"Anak saya cuma beritahu dia hendak keluar dan tidak pula menunjukkan apa-apa yang pelik sebelum kejadian," katanya.
Menurut Fauziah, anak ketujuh lapan beradik itu bekerja sebagai mekanik di bengkel suaminya.[kosmo]