KUALA LUMPUR 30 Nov. — Ketiga-tiga sayap Umno - Pemuda, Wanita dan Puteri yang mengadakan perhimpunan agung masing-masing hari ini, membuktikan mereka telahpun bersiap sedia untuk ‘merempuh’ pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13.Ucapan dasar ketua-ketua sayap parti itu memperlihatkan arahan untuk dijadikan ‘manual’ bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapannya mengingatkan anggota pergerakan itu untuk mementingkan semangat setiakawan dalam mengharungi segala tohmahan pembangkang.
"Dan setiakawan inilah juga satu-satunya kekuatan pembangkang yang membentuk kesepakatan melampau sehingga yang betul dijadikan salah, yang asli dikatakan palsu dan yang benar dituduh berbohong.”
"Dalam keadaan pembangkang yang semakin liar sekarang ini, tiada jalan mudah untuk melawan mereka kecuali kita bergerak bersama dalam satu semangat setiakawan yang tinggi,” tegasnya.
Shahrizat juga menyelar Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin yang mencabarnya supaya meletakkan jawatan berhubung kontroversi projek lembu fidlot yang melibatkan suaminya sebagai Pengerusi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Katanya, Zuraida seharusnya mencabar presiden mereka, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya meletak jawatan ekoran kontroversi membabitkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pula berkata, perjuangan pergerakan itu sekarang adalah berteraskan khidmat bakti iaitu perjuangan menyelesaikan masalah rakyat dan bukan perjuangan bercorak ‘kumpulan pendesak’.
Katanya, perjuangan bercorak ‘kumpulan pendesak’ hanya bercakap dan meluahkan pendapat sementara khidmat bakti akan mendatangkan hasil nyata yang membawa kebaikan untuk rakyat khususnya golongan muda.
Beliau juga berjaya menarik perhatian perwakilan apabila menghuraikan formula ‘Enam Jahanam’ yang dirancang oleh pembangkang bertujuan untuk menjahanamkan negara.
Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam ucapannya, menekan usaha untuk anggota pergerakkannya memahami kehendak generasi baru dan mendekati mereka dengan kaedah yang baru.
Beliau juga berjaya menarik perhatian perwakilan apabila memberi perumpamaan yang menarik bagi menunjukkan perbezaan sikap generasi muda dahulu dan kini. — Bernama