KOTA BHARU, 17 Nov[HD]: Tabung Amanah Serambi Mekah mencipta sejarah baru sejak penubuhannya hampir 21 tahun lalu apabila menerima sumbangan derma peribadi sebanyak RM5 juta.
Dengan sumbangan tersebut, tabung berkenaan berjaya mengutip sebanyak RM6 juta bermula Januari tahun ini.
Bagaimanapun seorang penderma luar Kelantan itu tidak ingin dikenali identitinya disebut ‘hamba Allah’ pada majlis kutipan derma akaun Amanah Kebajikan (Tabung Serambi Mekah) ke-21 di sini tengah hari tadi.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz ketika ditemui tidak menafikan ianya sejarah tersendiri bagi Tabung Serambi Mekah dengan sumbangan derma peribadi yang tertinggi sejak ianya ditubuhkan 21 tahun lalu.
“Perkembangan ini berlaku kerana kesedaran ajaran Islam yang murni menerapkan rasa tanggungjawab dan keinsafan terhadap penderma.
“Hasil didikan golongan alim ulama dan sebagainya berhubung tanggungjawab sebagai umat Islam, mereka akan menunaikan tanggungjawab itu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada dermawan tersebut serta penderma lain termasuk agensi-agensi kerajaan, swasta dan sebagainya kerana sudi menderma.
Katanya, dengan sumbangan tersebut ianya dapat membantu mangsa-mangsa ribut, kebakaran, banjir dan bencana alam lain.
Beliau berharap ianya menjadi suntikan motivasi kepada masyarakat untuk turut menunaikan tanggungjawab itu.
Antara agensi kerajaan negeri yang menderma, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sejumlah RM405,000, PMBK (RM100,000) dan lain-lain.
Turut menyumbang syarikat-syarikat swasta, pejabat tanah jajahan dan majlis daerah seluruh Kelantan di samping sumbangan individu.
Turut berucap pada majlis itu anggota Exco kerajaan negeri yang mewakili Timbalan Menteri Besar, Dr Muhammad Fadzli Hassan.