] — Pertubuhan pembela hak orang Melayu, Perkasa hari ini memberi amaran pengundi Melayu tidak akan memberi sokongan kepada wakil MIC, komponen Barisan Nasional (BN), dalam pilihan raya umum ke-13 susulan keputusan Putrajaya menarik balik novel “Interlok” sebagai teks sastera.
Selain itu, dakwa Perkasa, pihaknya juga yakin bahawa akan ada calon-calon Bebas bakal bertanding di kawasan-kawasan ditandingi wakil MIC atas alasan telah menghina penulisnya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.
Perkasa pernah mengumumkan pendirian yang sama ke atas wakil-wakil MCA, satu lagi komponen BN, sebelum ini dalam isu yang lain menyinggung kaum Melayu dan Bumiputera.
“Perkasa yakin pengundi Melayu tidak akan memberi undi kepada calon-calon MIC atau calon-calon India yang anti-Melayu dan mungkin ada calon Bebas yang akan bertanding di kawasan calon MIC bertanding di mana pengundi Melayu lebih 50 peratus,” kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali
(picture) dalam satu kenyataan.
Syed Hassan menambah, kumpulan pendesak hak orang Melayu itu amat kecewa dan kesal dengan keputusan kerajaan menarik balik novel kontroversi itu sebagai buku teks sastera.
“Kerajaan terlalu lemah dan gagal mempertahankan tekanan daripada golongan minoriti yang besar kepala.
“Perkasa sangat marah dan kesal atas pengumuman yang dibuat oleh Presiden MIC bahawa novel ‘Interlok’ digugurkan dari silibus,” kata beliau lagi.
Katanya, Perkasa sedar keputusan itu adalah kehendak MIC demi menagih undi kaum India menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Ini sangat biadap. Kerana undi kaum India, maruah penulis Melayu terhina.
Semalam, dua pemimpin kanan MIC mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel “Interlok” yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, perkara itu telah diputuskan oleh kerajaan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.
Beliau berharap penarikan balik novel karya Abdullah itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekaligus menamatkan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.
“Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak,” katanya di Air Keroh, Melaka.
Novel itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.
Perkara yang sama diumumkan oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel di Kulim, Kedah.
Syed Hassan berkata, apa yang tertera dalam novel tersebut, yang menjadi bahan kontroversi sejak awal tahun ini, adalah fakta.
“Bukan niat menghina. Yang menghina adalah mereka yang berada di kasta atas, ke atas kasta bawah yang dipanggil paria. Bukan penulis Melayu itu.
“Dan ia masih berlaku dalam masyarakat India di tanah besar India sendiri. Filem-filem mereka yang terbaru masih banyak menceritakan kisah kasta-kasta kaum India. Perkasa membantah keputusan ini. Minoriti sudah besar kepala,” katanya lagi.